Wednesday 10 September 2008

histeria penyakit psikiatri

Assalamualaikum,

Maaf kerana telah lama tidak kemaskini blog ini. Insya Allah, saya akan cuba pastikan blog ini berjalan dengan lebih baik di masa akan datang.

Saya cukup tertarik dengan artikel dalam berita minggu baru-baru ini. Ia menjelaskan mengenai histeria melalui pandangan psikiatri .

Pakar yang ditemuramah ialah Prof Azhar Zain. Beliau merupakan boss saya semasa di USM Kubang Kerian dahulu sebelum beliau berpindah ke UPM.

Anda boleh membacanya di bawah atau layari : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20080907094245/Article

Selamat membaca !

Wan Rushidi




KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya. Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.

Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju. Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju. Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.

Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan. Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian. Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal. Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .

Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an. Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar. Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain. “Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya. Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki.

Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah. “Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya. Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing. Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat. Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan. “Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini. Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan. Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

“Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.

Imbas kembali Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini
28 Ogos 2008 KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.
8 Ogos 2008 KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi. KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.
7 Ogos 2008 SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.
4 Ogos 2008 TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.
24 Julai 2008 KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari. Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.
17 Julai 2008 NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.
19 Jun 2008 CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.
24 April 2008 TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita. Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.
14 April 2008 SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.
31 Januari 2008 DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.

No comments:

Post a Comment