Thursday 17 July 2008

cara menangani tekanan

setiap individu mempunyai cara yang tersendiri untuk menangani stres atau tekanan yang dialami. sesuatu cara mungkin berkesan bagi si a tapi mungkin tidak berkesan langsung kepada si b dan begitulah seterusnya.

gangguan emosi atau jiwa dalam kalangan kanak-kanak sering mengakibatkan perubahan tingkah laku - khususnya berubah perangai dari baik kepada menjadi mudah bebal , tidak mahu mengikut peraturan atau arahan, 'breaking rules' - melakukan kegiatan yang bersalahan dengan undang-undang / peraturan / disiplin dan sebagainya. kalau dikaji dengan teliti, kebanyakan tindakan yang dilakukan adalah untuk mendapat perhatian daripada orang yang tersayang - 'attention seeking behaviour'

memang jarang untuk melihat kanak-kanak yang akan berlari kepada ibu bapa dan berkata - 'mak / abah , cek stres! cek tertekan! cek tension! cek susah hati !' dan sebagainya. antara sebabnya ialah psikologi mereka yang belum terbentuk dengan sempurna. justeru janganlah harap mereka akan dapat meluahkan perasaan seperti orang dewasa.

sikap ini mungkin akan terbawa-bawa di usia remaja dan dewasa kerana itulah cara yang telah dipelajari dan diamalkan sejak daripada kecil lagi. mereka juga cukup selesa dengan cara tersebut. walaupun itu bukanlah cara yang ideal, namun bagi mereka , ia telah terbukti berkesan - jadi mengapa perlu diubah.

antara cara lain yang kurang baik untuk menangani stres / tekanan atau apabila dilanda masalah ialah
1. menyalahkan orang lain - blaming others
2. menyalahkan diri sendiri - self blame
3. mencari jalan keluarga dengan cara yang mudah - dadah, arak dan sebagainya.

ada juga mereka yang tidak berupaya menangani masalah menggunakan mekanisma pertahanan diri berikut :
1. 'somatization' - iaitu menujukkan masalah yang dialami dalam bentuk fizikal - contohnya mereka yang mengalami kemurungan sering mengadu letih, tidak bertenaga, sakit di merata tempat, berdebar , sakit kepala , sakit perut , sakit belakang dan sebagainya
2. conversion - gangguan emosi sebenarnya telah diganti atau ditukarkan kepada bentuk lain khususnya - fizikal : contohnya pelajar kolej yang tertekan dengan pelajaran dan masalah psikosial akan menjadi 'blank' semasa membuat tugasan / peperiksaan , lumpuh apabila dipukul / ditengking oleh guru dan sebagainya.

cara begini sebenarnya lebih diterima oleh masyarakat kita. sakit fizikal tidak akan membawa stigma berbanding sakit mental / jiwa. ibu bapa akan rela membawa anak-anak berjumpa doktor biasa daripada pakar jiwa. jadi model inilah yang dipelajari oleh anak-anak dan akhirnya diwarisi turun temurun.

tidak ada jalan penyelesaian yang mudah dalam hal ini. tabiat memang susah untuk diubah. seperti kata orang putih - 'old habits die hard'. kita sebenarnya perlu mengubah semua ini.

cara terbaik menangani ketegangan emosi atau kecelaruan jiwa ialah dengan mengenal pasti punca masalah dan cuba mengatasinya. meluahkan perasaan dan bijak menangani masalah adalah antara dua elemen utama. tetapi bagi saya langkah pertama dan yang paling penting ialah mengakui dan menyedari bahawa kita sedang mengalami masaalah . sebabnya - bila kita tahu kita ada masaalah --> barulah kita akan cuba untuk mencari ubat dan jalan penyelesaiannya.

kita juga perlu mencari mekanisma pertahanan diri yang lebih diterima dan berfaedah; dan mengelakkan dari kembali kepada cara lama. tumpuan kepada penyelesaian masalah dan mencari punca-puncanya adalah jauh lebih berkesan ; disamping ubat-ubat yang diberikan. rawatan psikoterapi dan kaunseling juga boleh digunakan.

Sunday 13 July 2008

tekanan menghadapi peperiksaan

bila peperiksaan utama menjelang tiba - upsr, pmr, spm,stpm dan sebagainya - semakin ramai yang rasa tertekan. kanak-kanak dan pelajar , ibu bapa , guru dan semua mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

dalam dunia sekarang bilangan a yang diperolehi menjadi kayu pengukur.bukan pendidikan yang diutamakan tetapi keputusan peperiksaan semata-mata. yang menjadi mangsanya ialah kanak-kanak, remaja atau golongan pelajar yang terlibat.

ada yang berjumpa saya menangis teresak-esak kerana takut gagal dalam peperiksaan. takut tidak mendapat banyak a seperti yang diharapkan oleh guru dan ibu bapa. mereka tidak sanggup mengecewakan harapan keluarga , walau pun kadang-kadang mereka sendiri tahu, mereka tidak akan mampu untuk mencapainya.

stres, 'breakdown' dan gangguan emosi cukup kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekarang. ada yang cukup teruk sehingga timbul keinginan untuk membunuh diri.

bagi saya ini adalah perkembangan yang tidak sihat. memotivasikan pelajar untuk berjaya perlu ada hadnya. perlu tahu batasannya. tapi yang paling penting, kita perlu prihatin tentang kemampuan individu terbabit. kalau biasanya dapat 30 - 40 markah, janganlah dipaksa untuk mendapat markah 90-100. naikkan sedikit demi sedikit. barulah tekanan yang dihadapi dapat ditangani dengan berkesan.

tekanan jika berlebihan boleh membawa mudarat. jika tidak diberi perhatian, pelajar terbabit akan terus hanyut. akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. kejayaan yang dicari tetapi bala pula yang menanti.

bagi mereka yang menghadapi masalah, luahkanlah kepada mereka yang tersayang. kaunselor sekolah boleh membantu. kalau ia tidak dapat diatasi, carilah mereka yang berkelayakan untuk membantu. kini telah banyak pakar psikologi dan psikiatri - carilah mereka yang berkenan dihati.

Wednesday 9 July 2008

kanak-kanak, remaja dan masalah jiwa

ramai daripada kita menganggap gangguan jiwa hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa. namun hakikatnya kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami masalah yang sama. gangguan jiwa jenis psikotik mungkin lebih jarang dibandingkan dengan masalah jenis neurotik. tetapi ia masih boleh berlaku terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai genetic loading atau faktor keturunan yang tinggi.

secara umumnya masalah jiwa yang lebih kerap berlaku ialah gangguan emosi dan perasaan terutamanya dalam bentuk kemurungan dan kerisauan (depression and anxiety) . walau bagaimanapun simptom yang ditunjukkan mungkin berbeza. mereka jarang akan mengakui mereka sedih, bimbang, risau , tension , stres , gelisah dan sebagainnya. kerap kali ibu bapa atau guru akan dapat melihat perubahan dari segi perangai dan tingkah laku. daripada periang menjadi pendiam, daripada baik menjadi degil, agresif, sering membantah atau 'membuat perangai'. tidak kurang yang melakukan pelbagai tingkah laku yang kebanyakannya bertujuan untuk menarik perhatian mereka yang tersayang.

performance atau pencapaian akademik mereka juga boleh menjadi garis pengukur yang baik. kanak-kanak atau remaja yang bermasalah sering akan menunjukkan kemerosotan yang ketara, kurang tumpuan dan tidak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan baik. lebih merisaukan apabila mereka beralih kepada dadah dan pelbagai kegiatan tidak bermoral lain sebagai cara untuk menghilangkan tekanan atau simptom yang dialami.

rawatan segera sebenarnya boleh membantu mengelakkan mereka dari terus hanyut dan menderita. ubat-ubatan, kaunseling dan psikoterapi adalah antara bentuk rawatan yang boleh diberikan bergantung kepada jenis dan tahap penyakit yang dialami.

Monday 7 July 2008

takut berjumpa pakar jiwa

di mana sahaja di malaysia ini, orang cukup fobia dengan perkataan pakar jiwa. sebut saja nak berjumpa pakar jiwa, akan ada orang yang tersenyum dan ada juga yang merasakan ia sesuatu yang lucu. lebih kerap - ramai yang akan terkejut.

"betul ka?" " awat yang nak jumpa pakar jiwa tu ? hang dah gila ka?" "awat teruk sangatkah sampai nak pi jumpa doktor orang gila (lebih kerap --> doktor gila ...) ? "

ungkapan sebegini bukan sahaja datang daripada orang biasa atau orang kampung sahaja. malah ia juga datang daripada orang bandar dan mereka yang berpelajaran tinggi. jangan terkejut kalau mereka yang berada dalam kelompok profesional perubatan pun mempunyai pandangan yang sama.

selalunya bomoh , pawang , pengamal perubatan tradisional dan alternatif akan menjadi tumpuan jika mengalami masalah jiwa. bila sudah habis ikhtiar, bila dah teruk sangat atau bila pesakit dah tak boleh dikawal lagi, barulah pakar jiwa dicari. sedih kan...

pakar jiwa sebenarnya bukan hanya merawat penyakit jiwa yang serius sahaja. golongan tersebut merupakan hanya sebilangan kecil daripada pesakit yang berjumpa pakar jiwa. mereka ini kebanyakannya mengalami masalah jiwa jenis psikotik. serius tapi boleh dirawat dengan mudah terutama kalau datang awal.

lebih ramai daripada pesakit yang datang adalah mereka yang mengalami masalah:
1. kemurungan termasuk kemurungan selepas bersalin dan gila meroyan
2. kerisauan - termasuk penyakit was-was , panik, fobia dan sebagainya.
3.masalah rumah tangga
4. stres dan tekanan perasaan
5. penagihan dadah
6. masalah tidur
7. kanak-kanak seperti autisma, hyperaktif , dysleksia, lambat bertutur, kencing malam, enggan ke sekolah dan lain2.
8. nyanyuk dan perubahan tingkah laku atau personaliti selepas kemalangan.
dan macam-macam lagi.
pakar jiwa juga dapat membantu mereka yang memerlukan kaunseling, ujian psikologi dan sebarang bentuk psikoterapi.

dalam masyarakat moden,berjumpa pakar jiwa merupakan satu fenomena biasa. tiada lagi stigma seperti yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang.
ingin saya tekankan di sini, penyakit jiwa kebanyakannya boleh dirawat. dapatkan pemeriksaan awal. jangan malu berjumpa pakar jiwa. mereka juga manusia biasa. bukan doktor gila...

Tuesday 1 July 2008

perkhidmatan kaunseling / psikoterapi di kedah medical centre

bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling / psikoterapi di kmc, anda boleh menghubungi nombor berikut 04-7308878.
perkhidmatan ini ditawarkan untuk semua. selalunya masa untuk satu sesi adalah antara 45 minit hingga 1 jam.
caj yang dikenakan adalah berpatutan dan mengikut kadar yang ditetapkan oleh persatuan perubatan malaysia : iaitu antara 100 - 220 bergantung kepada jumlah masa yang diperlukan.