Wednesday 17 September 2008

kemalangan dan trauma

sebenarnya, dalam tiga empat hari lepas, saya berasa amat sedih di atas kemalangan yang telah menimpa 6 pelajar sekolah kebangsaan telok kechai di jalan kuala kedah, alor star, kedah. lebih-lebih lagi kerana saya merupakan bekas yang dipertua pibg di sekolah tersebut.

ini merupakan kejadian kedua yang berlaku selepas kemalangan maut yang telah meragut nyawa seorang pelajar lelaki pada tahun 2004 yang lalu. saya telah menulis kepada yang berhormat menteri pelajaran dan jabatan pelajaran negeri di samping di dalam akhbar berita harian : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20080917001354/Article
(atau anda boleh membacanya di bawah)




saya amat berharap sesuatu dapat dilakukan bagi membantu kanak-kanak di sekolah ini. kepada keenam-enam pelajar tersebut, saya berharap kaunselor sekolah akan dapat membantu memulihkan semangat dan keadaan emosi mereka. trauma yang mereka alami pada usia yang begitu muda boleh membawa pelbagai masalah di masa hadapan jika tidak ditangani segera.

bagi mereka yang masih ingat tentang tsunami yang melanda negara kita tidak lama dahulu, kejadian kemalangan seperti ini juga boleh mebawa kesan yang sama. takut, gelisah, gemuruh, sedih , bimbang, ' re-experiencing phenomena' - di mana mereka terbayang-bayang atau berulang kali mengalami kembali peristiwa tersebut boleh berlaku. ini boleh membawa kesan yang cukup buruk kepada mereka. oleh itu peranan kaunselor , guru dan ibu bapa cukup penting bagi membendung perkara seumpama ini daripada berlaku.

wan rushidi


Keselamatan pelajar patut dianggap isu penting

KEMALANGAN jalan raya membabitkan enam murid Sekolah Kebangsaan Telok Kechai (SKTK) di Jalan Kuala Kedah, Alor Star, Kedah 14 September lalu perlu diberi perhatian serius. Untuk makluman, ia kejadian pertama dan pasti bukan yang terakhir melainkan langkah segera dapat diambil bagi membendungnya. Seperti biasa, selain menyalahkan pemandu, orang ramai, termasuk ibu bapa turut menuding jari dan menyalahkan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan sekolah kerana tidak menyediakan atau menjaga keselamatan pelajar dengan sewajarnya. Sebagai bekas Yang Dipertua PIBG SKTK, (Mac 2005 - Mac 2008), saya ingin menjelaskan keadaan. Sebenarnya isu keselamatan pelajar menjadi isu pada hampir setiap mesyuarat agung PIBG SKTK terutama pada 2005 berikutan kemalangan maut membabitkan seorang murid di tempat yang sama beberapa bulan sebelum itu.
Sehubungan itu, jawatankuasa PIBG yang baru dilantik pada tahun itu mengadakan beberapa mesyuarat khas bersama pihak sekolah, pejabat pendidikan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Polis Trafik dan Majlis Bandaraya Alor Star bagi mencari penyelesaian. Kami juga menjemput pihak wakil rakyat dan Parlimen; serta Jabatan Kerja Raya untuk tujuan sama. Malah, kami turut menyediakan cakera padat video kepada pihak berkenaan untuk memberi gambaran betapa buruknya keadaan di situ yang umpama 'bom jangka' yang menanti masa untuk meletup. Namun, hakikatnya, perkara sama terus berlaku. Hanya alasan dan janji yang terus kami terima daripada semua pihak, antaranya: l Sekolah tidak dibenarkan mengarahkan kakitangan untuk menjaga pelajar ketika melintas kerana tidak termasuk dalam bidang tugas mereka dan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, mereka tidak dilindungi oleh insurans.
l Sekolah juga tidak boleh mengarahkan pengawal keselamatan yang ada di situ kerana mereka bukan di bawah Jabatan Pelajaran; l Lampu isyarat yang sedia ada di antara dua sekolah (Sekolah Kebangsaan Telok Kechai dan Sekolah Menengah Tengku Laksamana) tidak boleh diubah walaupun banyak permintaan untuk berbuat demikian; l Usaha memohon jejantas sudah dilakukan tetapi jawapan yang diperoleh ialah tidak ada peruntukan dan hingga kini selepas lebih 3 tahun ia masih dikategorikan dalam perhatian; dan l Permohonan untuk mengadakan jalur kuning di hadapan sekolah untuk memperlahankan kenderaan hingga kini masih tidak mendapat sebarang tindakan daripada Jabatan Kerja Raya.
Saya amat berharap suatu tindakan proaktif dan segera dapat dibuat bagi mengatasi masalah itu terus berlaku. Tidak perlu kita berbalah atau menuding jari sekarang ini. Apa yang lebih penting ialah menyelesaikan masalah ini dengan segera.
DR WAN MOHD RUSHIDI WAN MAHMUD, Alor Star, Kedah.

No comments:

Post a Comment