Tuesday 25 May 2010

Mengatasi Masalah Pesalah Jalan Raya : Utamakan Mendidik Bukan Menghukum

Saya amat tertarik dengan cadangan Ketua Pengarah JPJ untuk mengenakan kompaun minimum RM 300 untuk pesalah liat bayar baru-baru ini.

Dalam kenyataan tersebut juga dinyatakan bahawa terdapat 16.9 juta saman tertunggak antara 2000 hingga 2008 dengan nilai kompaun yang dianggar berjumlah RM 2.5 bilion. Antara cadangan lain yang bakal dikemukakan oleh JPJ ialah untuk memansuhkan pemberian diskaun, menetapkan kompaun baru (untuk digunapakai bersama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan) bagi setiap kesalahan trafik dan membezakan nilai kompaun bergantung kepada kesalahan berkaitan tingkah laku negatif pemandu, tingkah laku pasif, teknikal dan lain-lain kesalahan.




Kesimpulan yang mungkin diperoleh daripada kenyataan beliau itu ialah ramai rakyat Malaysia tidak memandu secara berhemah dan kerap melakukan kesalahan jalan raya. Mereka juga pesalah tegar atau kerap mengulangi kesalahan yang sama; tetapi pada masa yang sama enggan bertanggungjawab di atas kesalahan yang telah dilakukan.

Mungkin cadangan beliau itu ada logiknya. Kalau dianalisa daripada statistik kemalangan jalan raya, Malaysia merekodkan hampir 1000 kemalangan dan 17 kehilangan nyawa sehari. Dari segi nilai wang, kita kehilangan lebih RM 9 billion setahun akibat daripadanya. Majoriti daripada kemalangan tersebut berpunca atau berkait dengan faktor manusia. Ringkasnya ketidak patuhan kepada undang-undang dan kecuaian pemandu kita di jalan raya mengundang pelbagai implikasi buruk kepada negara.

Soalan yang mungkin bermain di fikiran kita ialah mengapa ini berlaku? Mungkinkah rakyat kita ini secara semula jadinya cuai dan tidak bertanggung jawab? Fahamkah mereka kepada undang-undang atau mungkin juga mereka sengaja tidak mahu mematuhinya? Kenapa pula undang-undang yang sedia ada gagal mengawal fenomena ini dari terus berleluasa? Salah siapa sebenarnya? Pemandu, undang-undang atau penguatkuasaan?

Tentunya ramai daripada kita tidak bersetuju dengan cadangan JPJ tersebut. Menaikkan nilai kompaun atau menetapkan lebih banyak bentuk hukuman rasanya tidak akan berupaya menyelesaikan masalah yang sedia ada. Hukuman sedemikian walau pun telah sekian lama dikuatkuasakan namun ia ternyata tidak begitu berkesan dan mungkin boleh agak lapuk ditelan zaman.

Idealnya, kita memerlukan paradigma baru dalam memperbaiki keadaan. Sebagai permulaan mungkin kita boleh menilai semula sejauh mana keberkesanan modul pendidikan untuk latihan memandu dan sistem pemberian lesen yang digunapakai oleh pihak berkuasa di negara ini. Adakah ia telah cukup mantap dan efektif ? Perlukah ia dirombak atau ditambah baik ; atau mungkin juga boleh dimasukkan elemen lain yang lebih kontemporari dan relevan dengan senario masa kini?

Rasanya sistem yang sedia ada telah gagal melahirkan pemandu yang berdisiplin, patuh kepada undang-undang dan kompeten dalam mengendalikan kenderaan dalam situasi yang semakin mencabar. Hak untuk menggunakan jalan raya bukanlah boleh dipandang remeh dan tentunya tidak boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya. Mungkin kriteria penganugerahan lesen yang wujud masa kini tidak cukup komprehensif dan terlalu simplistik.

Kemahiran mengendalikan kenderaan bukanlah satu-satunya faktor penentu sama ada seseorang individu itu layak diberi lesen memandu. Banyak lagi ciri-ciri yang perlu diambil kira dan dititik beratkan. Kefahaman mengenai adap dan tata susila ketika memandu, kebolehan mengawal emosi dan tingkah laku pastinya kritikal dalam memastikan seseorang itu boleh menjadi pemandu yang selamat, matang, berhemah dan patuh kepada undang-undang. Dalam erti kata lain, kemahiran psikososial serta kecerdasan emosi juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan kesesuaian dan kelayakan seseorang individu untuk memiliki lesen memandu.

Langkah seterusnya ialah memastikan proses penguatkuasaan dan hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan turut diperbaiki. Penekanan terhadap unsur menghukum (‘punishment’) dan bukannya mendidik (‘education’) perlu difikirkan semula. Teori Psikologi mengenai pembelajaran (‘learning’) jelas membuktikan bahawa menghukum kerap kalinya gagal menghasilkan kesan yang berterusan atau mencapai objektif yang disasarkan. Tambahan pula apabila hukuman yang diberikan tidak setimpal atau tidak boleh menghasilkan impak yang diingini, maka ia tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada individu terbabit.

Sebagai contoh, hukuman kompaun RM 300 mungkin menghasilkan impak yang besar kepada mereka yang berpendapatan rendah, namun ia tidak langsung menggerunkan golongan jutawan atau individu berpendapatan tinggi. Akibatnya golongan ini akan tetap melakukan kesalahan yang sama secara berulang kali kerana elemen ketakutan (‘fear’) yang diinginkan bagi memberi pengajaran kepada mereka tidak wujud sama sekali.

Kalau prinsip ini mahu diteruskan, modifikasi perlu dilakukan. Hukuman harus disesuaikan dengan kesalahan ; juga dalam bentuk yang boleh memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah tersebut. Sebagai contoh, hukuman seperti khidmat komuniti (‘community service’), rawatan kaunseling dan psikoterapi didapati lebih memberi manafaat kepada pesalah tegar seperti yang dipraktik di negara-negara barat.

Alternatifnya, kita mungkin boleh menggunakan beralih kepada konsep peneguhan (‘reinforcement’). Metod ini dipercayai lebih efektif dalam memberi didikan dan pengajaran terutama untuk mengubah sesuatu tingkah laku manusia. Secara mudahnya, jika seseorang itu melakukan kesalahan, sesuatu keistimewaan yang dimiliki mereka akan ditarik balik ; atau sekiranya mereka melakukan kebaikan, ianya akan dikembalikan atau mungkin diberikan penghargaan dalam bentuk yang lain.

Majoriti Pakar Psikologi berpendapat bahawa pembelajaran melalui konsep ini jauh lebih berkesan bagi membentuk atau memperbaiki sesuatu tingkah laku secara konsisten dan berpanjangan. Prinsip menghukum, kata mereka , lebih tertumpu kepada menghapuskan tingkah laku yang tidak diingini manakala peneguhan pula menitik beratkan soal memperbaiki dan menggalak tingkah laku yang baik secara total dan berterusan.

Syarikat insurans di negara ini sebenarnya telah lama mengaplikasikannya dalam perniagaan mereka. Individu yang tidak membuat sebarang tuntutan insurans pada satu-satu tempoh tertentu akan diberi ganjaran (‘reward’) dalam bentuk wang atau diskaun; manakala mereka yang ada membuat tuntutan, akan kehilangan ganjaran tersebut. Oleh yang demikian para pemandu secara amnya telah dididik secara tidak langsung untuk memandu secara berhemah (dan tidak terlibat dengan kemalangan) demi untuk memperoleh ganjaran di akhir tempoh ditetapkan.

Elemen ‘personal touch’ atau sentuhan peribadi juga perlu dikembalikan. Memberi saman melalui sistem automatik atau saman ekor bukanlah satu idea yang baik. Walau pun ia boleh menjimatkan masa dan tenaga kerja ; atau memberi pulangan yang lumayan, namun aura sentuhan dan unsur nasihat yang ingin disampaikan kepada mereka yang telah melakukan kesalahan tidak lagi wujud. Ia umpama belajar melalui komputer. Mungkin ianya efektif untuk mempelajari sesuatu, tetapi tidak begitu berkesan untuk mendidik individu.

Memang benar cadangan yang diutarakan ini mungkin agak kontrovesial dan memerlukan pengubahsuaian drastik terhadap sistem dan pemahaman yang sedia ada dalam menangani masalah yang melanda negara. Namun seperti kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hendak seribu daya , dan jika tidak mahu, seribu dalih boleh diberikan. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk berubah dan ianya mesti dibuat segera demi kepentingan bersama.

No comments:

Post a Comment