Wednesday 5 May 2010

Gangguan Jiwa Perlu Rawatan Segera

Harian Metro : Muka Depan - 5.5.2010


Saban hari kita terbaca di dada akhbar mengenai kisah-kisah pelik yang berlaku di negara ini. Kejadian membunuh diri, membunuh atau mencederakan orang lain dek kerana mengikut kata suara ghaib seolah-olah menjadi trend masa kini. Terbaru ialah kejadian yang melibatkan seorang suami yang menoreh alat sulit isterinya kerana mendengar bisikan jin yang menyatakan si isteri mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.




Dalam kes sebegini, mungkin punca utama yang terlintas di fikiran kita ialah gangguan jin, makhluk halus, syaitan dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah mereka yang mengalaminya akan terus dirujuk kepada bomoh atau pengamal perubatan tradisional. “Ini kes buatan orang”, mungkin itulah ungkapan yang seringkali kedengaran. Tidak perlu rawatan doktor kerana mereka bukan tahu merawat penyakit begini...

Benarkah individu yang mengalami simptom sedemikian dirasuk syaitan atau dimasuki jin? Atau mungkin juga akibat perbuatan khianat, santau dan sebagainya? Rasanya itulah yang ingin dipercayai oleh masyarakat kita, walaupun jauh di sudut hati, ramai daripada mereka sebenarnya tahu bahawa kemungkinan besar individu terbabit mengalami masalah gangguan jiwa.

Kalau dirujuk kepada mereka yang arif mengenai ilmu perubatan jiwa atau psikiatri, apa yang dapat dikenalpasti dalam kes tersebut dan kes-kes yang seumpama dengannya adalah kewujudan dua simptom kecelaruan psikosis iaitu halusinasi dan delusi.

Halusinasi bermaksud persepsi tidak normal yang dialami dalam keadaan sedar tanpa adanya rangsangan atau stimulus kepada mana-mana deria (lihat, dengar, bau, sentuh dan rasa). Sebagai contoh, mereka yang mengalami gangguan jiwa tertentu boleh mendengar suara-suara ghaib walhal realitinya ia (suara-suara tersebut) tidak wujud sama sekali. Apa yang didengari itu sebenarnya bukan datang daripada luar tubuh badan mereka atau disebabkan oleh makhluk halus, tetapi sebenarnya datang daripada minda individu itu sendiri.

Begitu juga dengan delusi atau kepercayaan salah, yang wujud serta dipegang kuat oleh individu walaupun ia jelas tidak mempunyai asas yang kukuh atau telah dibuktikan tidak benar. Kerapkali delusi berkenaan mempunyai tema dan kaitan yang rapat dengan halusinasi yang dialami. Dalam kes di atas contohnya, kemungkinan besar delusi bahawa si isteri menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain itu timbul akibat daripada bisikan jin (halusinasi) yang dialami oleh beliau. Lebih menyedihkan ialah menurut kata mangsa, suaminya telahpun menunjukkan ciri-ciri perubahan sikap seminggu sebelum kejadian tersebut bilamana beliau telah dicekik dua kali dalam tempoh tersebut.

Kejadian yang telah berlaku ini sebenarnya menggambarkan senario yang lazim di negara kita. Anehnya walaupun sedar bahawa gangguan jiwa itu wujud dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya dan enggan mendapatkan rawatan dengan segera.

Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita juga sebenarnya lebih rela menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkahlaku yang dialami oleh seseorang itu adalah hasil pada buatan orang daripada mengakui bahawa ia disebabkan oleh gangguan jiwa atau kecelaruan emosi.

Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tempat rujukan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya dirasuk jin atau syaitan.

Walau apapun, gangguan jiwa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Penyakit jiwa dan kecelaruan tingkahlaku wujud dalam semua masyarakat di mana sahaja mereka berada. Menurut anggaran yang dibuat oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan, 25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan 15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, situasinya tidak banyak berbeza. Secara purata, dianggarkan hampir 270,000 orang mengalami penyakit skizofrenia dan kira-kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setahun bagi setiap 100,000 rakyat di negara ini. Lebih membimbangkan ialah bilamana penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 yang menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2% orang dewasa 20.3% dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia jelas menunjukkan peningkatan berbanding kajian terdahulu (1996) yang hanya menunjukkan kadar 10.7% dalam kalangan orang dewasa dan 13.0% dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kesimpulannya, gangguan jiwa memang wujud di negara ini dan prevalennya berada di tahap yang kritikal. Kegagalan untuk menanganinya bukanlah disebabkan oleh faktor kewangan atau tiada rawatan yang berkesan tetapi sebenarnya akibat keengganan (atau mungkin juga kedegilan) kita dan pihak yang berwajib untuk mengakui kewujudannya serta berbuat sesuatu mengenainya.

Umumnya, hampir semua hospital kerajaan mahupun swasta berupaya untuk merawat masalah gangguan jiwa. Tetapi sikap masyarakat kita yang enggan dirawat atau dirujuk menjadi batu penghalang yang utama. Stigma yang dikaitkan dengan berjumpa pakar jiwa menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita. Maklumlah, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, bukan saja malu yang terpaksa mereka tanggung, malah berisiko tinggi pula untuk dibuang kerja. Itu belum lagi diambilkira kehilangan hak keistimewaan sebagai seorang makhluk yang bergelar manusia.

Lebih memburukkan keadaan, kita juga tidak akan dilindungi oleh insurans atau kad kesihatan. Hampir semua pemilik syarikat insurans mempunyai klausa yang mengecualikan mereka daripada membayar untuk sebarang bentuk rawatan sama ada di klinik mahupun hospital swasta jika simptom yang dialami mempunyai kaitan (secara langsung atau tidak) dengan tekanan perasaan, stres atau apa sahaja bentuk gangguan jiwa. Mungkin punca utamanya ialah kerana Malaysia belum mengiktiraf masalah jiwa sebagai penyakit kritikal yang wajib dilindungi. Pendek kata, kita boleh mendapat rawatan yang terkini dan bertaraf dunia daripada mana-mana hospital swasta untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya di negara ini di bawah perlindungan insurans yang dibeli tetapi jika gangguan jiwa yang dialami, maka terpaksalah kita membayar dengan wang sendiri.

Mungkin telah tiba masanya kita mengambil tindakan yang lebih proaktif untuk mengubah keadaan. Dunia sudah berubah, dan untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu mengikut jejak langkah negara lain dalam mengiktiraf gangguan jiwa sebagai salah satu masalah kesihatan yang mesti ditangani dengan bijaksana. Tidak perlulah kita menunggu hingga lebih ramai nyawa yang terkorban sebelum kita bertindak. Beringat sebelum kena, dan janganlah bila sudah terantuk baru hendak tengadah.....

No comments:

Post a Comment