Sunday 18 October 2009

Stres dan Peperiksaan

Setiap kali peperiksaan utama menjelang tiba, maka ramailah anak-anak kita yang mula mengelabah. UPSR dan PMR dah berlalu, kini SPM pula menghampiri mereka.

Dalam era di mana keputusan peperiksaan dianggap satu lambang kejayaan yang hakiki, maka lebih ramai lah pelajar yang ditimpa masalah stres dan tekanan jiwa.

Baru-baru ini terdapat seorang pelajar daripada sekolah yang terkenal di bandar ini ada berjumpa saya. Berubah perangai, menyisihkan diri, bercakap seorang diri, berasa takut seolah-olah ada orang akan menangkapnya, tidak boleh tidur, gelisah dan seolah-olah berada dalam dunia sendiri.

Guru kaunseling sekolah berkenaan telah menasihatkan ibu bapa beliau berjumpa Pengamal Perubatan Homeopati. Namun setelah dua hari mengambil ubat daripada tempat berkenaan, keadaan beliau menjadi bertambah buruk.

Bila peperiksaan PMR menjelang tiba, beliau gagal untuk menjawab sebarang soalan. Akhirnya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Rupanya beliau merupakan pelajar yang cemerlang. Berjaya mendapat markah yang agak tinggi dalam peperiksaan percubaan yang baru lalu. Namun disebabkan tidak tahan dengan tekanan menjelang peperiksaan, beliau terus mendapat masalah gangguan jiwa.

Daripada pemeriksaan, jelas bahawa pelajar berkenaan sememangnya mengalami masalah jiwa yang serius - acute psychosis atau psikosis yang akut. Setelah beberapa hari mendapat rawatan, beliau telah beransur pulih daripada penyakit yang dihidapi.

Ini adalah antara contoh bagaimana stres boleh menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit jiwa. Jika mendapat rawatan awal, mungkin beliau sempat untuk mengambil peperiksaan semula.

Penyakit jiwa boleh diubati dan dirawat. Ia bukan buatan orang atau disebabkan oleh hantu syaitan. Berjumpalah doktor sekiranya tidak pasti. Guru kaunseling juga sepatutnya lebih peka dengan perkara sebegini kerana mereka dilatih untuk mengenali masalah jiwa semasa di universiti dulu.

Sedih juga dengan apa yang berlaku. Namun mungkin ada hikmah lain di sebalik apa yang telah berlaku.

No comments:

Post a Comment