Thursday 22 October 2009

Dadah Sintetik Lebih Sukar Untuk Diubati

Trend masalah penagihan dadah di Malaysia sebenarnya telah banyak berubah. Kebanjiran dadah sintetik cukup membimbangkan. Kalau dulu, ramai dalam kalangan penagih Melayu lebih tertumpu kepada ganja dan heroin, namun kini mereka telah berubah atau beralih kepada dadah jenis sintetik pula.

Puncanya ....




  1. Lebih murah dan mudah untuk diperoleh (harga - hanya RM 5 untuk pil kuda atau pil gila ; RM 50 untuk ekstasi dan lebih tinggi bagi syabu)
  2. Merangsangkan emosi dan menghilangkan kesedihan - membuatkan mereka merasa seronok sentiasa.
  3. Memberi tenaga - khususnya tenaga fizikal (tujuan seks , memberi tenaga untuk menyanyi dan menari tanpa henti - tidak perlu makan minum atau tidur , dan sebagainya)
  4. Mengurangkan berat badan sebagai salah satu kesan sampingan yang disukai oleh remaja dan artis
Dadah sintetik ini juga kini telah menular ke sekolah dan IPT terutama dalam musim peperiksaan khususnya untuk memberi tenaga bagi membuat ulangkaji, mengurangkan tidur , membuat assignment dan mengurangkan stres...
Ia sebenarnya cukup sukar diubati dan memerlukan rawatan yang intensif dari segi perubatan, psikologi dan psikiatri , serta sokongan yang kuat daripada ahli keluarga dan saudara mara.

Penagihan jenis ini juga tidak boleh dirawat dengan ubat-ubatan biasa atau melalui rawatan terapi gantian .


Hubungi hospital atau pakar yang berdekatan untuk keterangan lanjut.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_41.htm&arc=hive


AADK wujudkan Puspen rawat penagih dadah sintetik


ALOR SETAR 21 Okt. – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan mewujudkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) khusus untuk merawat dan memulihkan penagih dadah sintetik jenis perangsang ‘amphetamine’ (ATS) yang semakin membimbangkan di negara ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd. Bakir Zin berkata, langkah itu dibuat kerana pihaknya mendapati kaedah rawatan dan pemulihan bagi penagih dadah sintetik berbeza dengan penagih dadah tradisional yang berasaskan ganja.

Sehubungan itu kata beliau, agensi itu cuba mengasingkan kedua-kedua kumpulan penagih berkenaan supaya pendekatan rawatan yang dijalankan akan lebih berkesan, sekali gus membantu mengurangkan kadar jenayah khususnya jenayah jalanan.

“Mereka yang bermasalah dengan dadah sintetik mempunyai sikap berbeza seperti lebih agresif dan memerlukan pendekatan perubatan yang lebih khususnya dari segi psikologi.
“Oleh itu kita cuba mengusahakan satu pendekatan yang baru untuk merawat dan mengasingkan mereka,” katanya kepada pemberita sempena Mesyuarat Pengarah dan Komandan Puspen di sini semalam.

Abd. Bakir berkata, projek perintis penubuhan Puspen khas itu akan dimulakan di Puspen Dengkil, Selangor pada penghujung tahun ini memandangkan ia mempunyai infrastruktur lengkap termasuk berhampiran hospital dan pusat rawatan psikologi.

Selepas dilaksanakan kelak, jelas beliau, pihaknya akan menjalankan kajian untuk melihat sejauh mana keberkesanan projek itu dalam membantu menangani masalah penyalahgunaan dadah.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, trend terkini menunjukkan penggunaan dadah di kalangan rakyat negara ini telah berubah daripada berasaskan ganja kepada jenis sintetik sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, jumlah penagih ATS yang direkodkan pada 2001 seramai 3,047 orang, meningkat kepada 5,361 orang pada 2005 dan ia dijangka terus bertambah pada tahun ini.
Menurut beliau, golongan pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan lebih cenderung untuk menggunakan dadah ATS itu.

Beliau memberi contoh, hasil ujian air kencing ke atas 4,152 pelajar di seluruh negeri ini sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini mendapati 38 pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan positif menggunakan ATS.

Dalam hal ini, beliau menyeru masyarakat yang mempunyai masalah penyalahgunaan dadah di kalangan ahli keluarga mereka supaya melaporkan secara sukarela kepada AADK atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan agensi itu bagi mendapatkan bantuan dan rawatan segera.

Pada masa sama katanya, AADK dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa yang lain akan melancarkan operasi bersepadu sekali seminggu di setiap daerah bagi memastikan mereka yang terlibat dengan dadah diberkas dan diberikan rawatan segera.
“Ia selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah jalanan kerana kebiasaannya pelaku jenayah terlibat dengan dadah,” katanya.

1 comment:

  1. Insya Allah segala jawapan untuk rawatan ketagihan dadah merbahaya termasuk ATS ada di halaman di bawah:

    Ihsan Pusat Rawatan Pakar Dr Mahmud

    http://rawatanbebasdadah.blogspot.com/

    ReplyDelete