Thursday 19 February 2009

Perjelas Kaedah Terbaik Tangani Penyakit Mental

18 February 2009

Penerangan mengenai masalah kesihatan mental perlu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan penyertaan pelbagai pihak dalam usaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat berhubung kaedah terbaik menangani penyakit terbabit.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hasnah Ismail, berkata pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan penting dalam membantu Kementerian Kesihatan menyalurkan maklumat mengenai kaedah dan pendekatan berkesan menangani penyakit itu.




Beliau berkata, penyakit mental antara penyakit popular yang melanda masyarakat dunia ketika ini tanpa mengira usia, kedudukan dan bangsa dengan pesakitnya mudah dilabel sebagai orang gila. “Pesakit mental sering dipandang hina, disisih serta dicemuh oleh masyarakat sekeliling yang kurang berpengetahuan mengenai penyakit terbabit.

“Penyakit mental ataupun masalah tingkah laku dikesan berpunca daripada tekanan atau masalah yang dihadapi. Justeru, pesakit memerlukan kaedah rawatan dan perkhidmatan psikiatrik berkesan selaras dengan perkembangan perubatan moden.

“Masalah mental juga adalah lima daripada 10 penyebab kadar ketidakupayaan di seluruh dunia, membuktikan betapa seriusnya penyakit ini dan kesannya kepada ekonomi," katanya selepas merasmikan hari Terbuka Jabatan Psikiatri Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Beliau berkata, ketika ini seramai 450 juta orang dikesan mengalami sakit mental di seluruh dunia dan daripada jumlah itu, 877,000 pesakit mati akibat bunuh diri setiap tahun. "Mengikut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mental yang sihat merangkumi keupayaan individu berfikir dan bertindak positif, bergaul secara sihat dan mampu mengendali masalah dan tekanan kehidupan seharian dengan berkesan.

"Pesakit mental kini sudah banyak berubah berbanding zaman sebelumnya selepas penemuan ubat-ubatan antipsikotik, namun masih ramai lagi pesakit mempunyai kualiti kehidupan yang rendah," katanya. Katanya, pihak kementerian berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan Jabatan Psikiatri seperti menambah kemudahan logistik termasuk katil hospital, ubat generasi baru serta mewujudkan perkhidmatan komuniti psikiatrik di hospital pakar.

Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian di alamat berikut : www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment