Friday 9 May 2014

Kenapa Kita Lebih Percaya Kepada Bomoh?


Percaya pada bomoh merupakan satu fenomena yang unik di negara ini. Ia telah wujud sejak turun temurun. Satu ketika dahulu, bomoh adalah sumber rujukan utama untuk sebarang masalah kesihatan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Walaupun kini terdapat perubatan moden yang boleh mengubat pelbagai jenis penyakit, masih ramai dalam kalangan individu yang lebih percayakan bomoh berbanding ahli perubatan profesional di klinik mahupun hospital.

Bomoh juga menghadapi saingan daripada kumpulan perubatan alternatif. Ini termasuk Perubatan Islam, Perubatan Homeopati, Terapi Vibrasi Warna, Refleksologi, Perubatan Tradisional China dan sebagainya yang kini tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Namun begitu institusi ‘bomoh’ masih kekal bertapak di bumi Malaysia ini.

Peliknya ia terus popular walaupun banyak kes penipuan dilaporkan oleh pihak media. Penyelewengan yang melibatkan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai bomoh memang kerap berlaku, apatah lagi dengan tiada kawalan dan pemantauan daripada pihak yang berkuasa. Sesungguhnya itu semua belum cukup untuk menghalang masyarakat daripada terus mempercayai kebolehan mereka.

Ada yang berpendapat, kepercayaan kepada bomoh hanya prevalen dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Ini adalah kerana kos rawatan yang dikenakan cukup minima berbanding kos perubatan moden yang begitu tinggi masa kini. Bomoh juga kebanyakkannya berada di kawasan kampung yang dekat dengan kediaman mereka berbanding hospital yang terletak jauh di bandar besar. Ada pula pendapat mengatakan mereka yang percayakan bomoh terdiri daripada golongan yang tidak berpendidikan. Oleh yang demikian, golongan ini lebih mudah terpengaruh dan diperkotak-katikkan.

Namun hakikatnya tidak begitu. Kos rawatan bomoh sekarang bukan murah… Tiada lagi bayaran pengeras sebanyak RM 2.15 atau sedekah sekadar yang ikhlas. Sebaliknya bayaran konsultasi yang dikenakan kini ditetapkan terlebih dahulu. Malah ada dalam kalangan bomoh yang mengenakan bayaran bernilai ribuan ringgit untuk khidmat yang disediakan. Pernah ada pesakit yang merungut, kos membuang jin, saka dan sebagainya mencecah hampir RM 2000 setiap sesi. Bayaran pula perlu dibuat secara tunai sebelum upacara dilangsungkan.

Menariknya juga golongan yang terbabit bukan lagi orang miskin atau tidak berpendidikan. Sebaliknya fenomena ini kini melibatkan mereka yang kaya raya, berpendidikan tinggi, dan berpangkat besar turut terpengaruh. Golongan ini sanggup menghabiskan wang yang banyak, menjejaki serata pelusuk negara hanya untuk mencari bomoh yang kononnya handal dalam merawat pelbagai jenis penyakit…

Jadi jelas bahawa kos dan jarak tempat rawatan, tahap pendidikan atau tahap sosio-ekonomi individu bukanlah faktor penentu utama yang menyebabkan masyarakat kita lebih percayakan bomoh berbanding golongan profesional itu sendiri.  

Taksub atau kepercayaan yang keterlaluan juga boleh mengundang padah. Sesetengah individu terkhilaf dalam mempercayai bomoh boleh merawat segalanya. Ada yang berpendirian bahawa penyakit diberi oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, hanya Allah sahaja yang boleh menyembuhkannya. Tidak perlu berjumpa doktor kerana ia tidak akan membawa sebarang faedah. Sebaliknya hanya perlu berjumpa bomoh yang boleh mendoakan terus kepada Yang Maha Esa untuk memulihkan sesuatu penyakit.
Islam sebenarnya mahu kita berusaha. Perubatan moden adalah ciptaan Allah SWT sebagai metod untuk merawat penyakit. Ia adalah sebagai ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Doktor hanya sebagai perantara dan ubat adalah bahan yang diciptakan oleh Allah SWT untuk membantu kita dalam usaha tersebut. Benar, kuasa menyembuh tetap hanya ada pada Allah Yang Maha Esa. Tetapi bertawakkal dan berdoa sahaja tanpa berusaha bukanlah cara yang dianjurkan oleh Islam.
Anologi paling mudah ialah ketika menghadapi peperiksaan. Apakah kita boleh lulus hanya dengan berdoa tanpa berusaha sedikit pun? Adakah tanpa membuat ulangkaji atau membuat rujukan, kita boleh berkata kita telah mencuba segalanya? Adakah dengan bertawakkal dan berdoa sahaja, kita akan lulus dengan cemerlang?
Allah SWT tidak mahu hambaNya berbuat demikian. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa setiap penyakit ada ubatnya kecuali penyakit tua dan mati...Ilmu yang diturunkan melalui perubatan moden kini boleh mengubat pelbagai jenis penyakit yang dialami. Namun perubatan moden juga ada limitasinya. Tapi ia jauh lebih baik daripada hanya menggunakan jampi serapah atau ritual yang kadangkala boleh merosakkan akidah.
Dari segi psikologi pula, terdapat beberapa teori yang telah diketengahkan bagi menjelaskan isu ini.  Intimidasi atau takut dengan suasana yang dikaitkan dengan perubatan moden adalah salah satu daripadanya.

Ujian darah, pengimejan, imbasan, ujian ultra bunyi, pembedahan, suntikan, doktor, jururawat dan sebagainya mungkin dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan biasa kepada individu yang terlibat dalam profesion ini. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang di luar sana, itu semua adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang menakutkan dan jika boleh, dijauhi sama sekali.  

Itu belum diambilkira rawatan atau ujian  invasif seperti mengambil air tulang belakang atau sum-sum tulang, terapi eletrokonvulsif (‘karan otak’) dan sebagainya yang dianggap boleh memberi pelbagai kesan sampingan yang menyakitkan atau menyebabkan kematian. Keadaan ini diburukkan lagi dengan gambaran layanan buruk yang disiarkan melalui laman sosial, media konvensional mahupun alternatif, dan cerita yang diperoleh melalui rakan dan sahabat handai mengenai perubatan moden di negara ini.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah kenapa para bomoh menjadi pilihan. Mereka hanya menggunakan air jampi dan ritual mudah untuk merawat apa sahaja penyakit. Ini tentunya satu alternatif yang jauh lebih menarik dan tidak menakutkan….

Denial atau keengganan untuk menerima hakikat sebenar mungkin antara faktor pendorong lain mengapa bomoh lebih dipercayai. Kerapkali pesakit tidak mahu mengakui mereka mengalami sesuatu penyakit atau menjadi penyebab kepada penyakit tersebut.

Individu yang mengalami kemurungan akibat masalah rumah tangga contohnya mungkin akan kurang selesa jika diberitahu bahawa penyakit yang dialami adalah hasil kelemahan atau kesalahan diri sendiri dalam mengurus rumah tangga, tidak tahu bertolak ansur atau tidak pandai menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing.

Sebaliknya jika dikatakan kemurungan itu berpunca daripada buatan orang yang dengki kepada rumah tangga mereka, atau ingin membalas dendam, alasan sedemikian jauh lebih menarik  untuk diterima oleh individu terbabit atau ahli keluarga yang terlibat. Isu utama adalah enggan memikul tanggungjawab atau mengakui kelemahan diri. Kesalahan atau beban tidak mahu dipikul di atas bahu sendiri, sebaliknya lebih selesa jika orang lain yang boleh dipersalahkan.

Keadaan sedemikian mendorong individu dan keluarga yang terbabit berikhtiar melawan penyakit ‘buatan orang’ dengan membuang saka atau jin yang kononnya berada dalam diri mereka (telah diletakkan oleh individu tertentu) dengan bantuan bomoh tersebut. Kepuasan kerana dapat ‘membalas semula’ atau menggagalkan cubaan jahat tersebut ; atau perasaan takut kepada implikasi buruk yang mungkin terjadi jika tidak membuangnya  daripada badan mereka menyebabkan ramai pesakit rela bergolok bergadai mencari wang untuk melunaskan pengeras yang ditetapkan.
Stigma juga memainkan peranan dalam memperjelaskan mengapa bomoh lebih menjadi tumpuan berbanding perubatan moden (khususnya jika ia melibatkan gangguan jiwa). Sakit jiwa adalah sesuatu yang sering dipandang hina oleh masyarakat kita. Individu yang disahkan mengalaminya kerapkali dianggap lemah dan disisihkan. Keluarga mereka juga turut menerima nasib yang sama.
Kebetulan, ramai dalam kalangan pesakit jiwa mempunyai halusinasi (contohnya dapat mendengar suara-suara ghaib atau dapat melihat sesuatu yang tidak jelas dipandangan orang lain). Mereka juga mengalami simptom yang dipanggil delusi. Ia adalah kepercayaan yang salah yang dialami oleh individu walau tidak ada bukti langsung untuk menyokong kepercayaan mereka. Contoh yang paling mudah ialah percaya bahawa ada seseorang yang cuba untuk menganiayai atau berbuat jahat kepada mereka.  
Keadaan sedemikian sudah tentu memudahkan para bomoh untuk meyakinkan pesakit tersebut bahawa suara yang didengar itu adalah suara hantu atau jin ; dan delusi yang dialami pula adalah hasil daripada buatan orang tertentu yang ingin membalas dendam terhadap pesakit atau sesiapa sahaja ahli keluarga yang terbabit.
Mempercayai dan menganggap bahawa semua itu terjadi berpunca daripada buatan orang, jin atau pun apa sahaja makhluk ghaib sudah tentu dapat menghindarkan individu dan keluarga daripada disisihkan dan dipandang serong oleh masyarakat setempat. Jadi ini sudah tentu akan menguatkan lagi kepercayaan mereka kepada bomoh berbanding golongan profesional perubatan di negara ini.
Secara kesimpulannya, kepercayaan kepada bomoh masih kuat dalam kalangan masyarakat kita. Sukar rasanya untuk mengikisnya kerana ia bukan sahaja melibatkan golongan tua malah golongan muda juga turut terpengaruh. Apa yang boleh ialah terus memberi kesedaran dan informasi agar implikasi atau kesan buruk yang mungkin timbul dapat diminimakan demi kebaikan bersama.

Wallahuaklam. 

No comments:

Post a Comment