Tuesday 9 February 2010

Gangguan Jiwa Lawan Gangguan Mistik.


 

Dalam akhbar baru-baru ini tersiar satu cerita yang amat menyayat hati di mana seorang lelaki telah menikam abang dan ayahnya sendiri. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila komen pihak polis dan media yang menggambarkan kemungkinan ia merupakan akibat daripada gangguan mistik - iaitu lelaki tersebut mendengar suara wanita bernama Siti Aisyah yang menyuruhnya melakukan perbuatan tersebut. 

Mungkin susah bagi kita untuk membuat kesimpulan daripada kes ini tanpa fakta yang terperinci dan peluang untuk menemuduga pesakit yang terbabit. Namun kemungkinan ianya disebabkan oleh masalah jiwa tidak boleh diketepikan begitu sahaja. 



Dari perspektif psikiatri dan psikologi, suara ghaib tersebut boleh diklasifikasikan sebagai halusinasi. Ia merupakan satu simptom yang kerap ada dalam kalangan pesakit jiwa di mana mereka mendengar suara-suara ghaib (satu atau lebih) yang secara saintifiknya telah dibuktikan datang daripada otak mereka sendiri.  Ia digelar halusinasi kerana persepsi (melalui deria pendengaran) itu berlaku walaupun tidak ada stimulus (punca suara tersebut) daripada luaran. 

Kerapkalinya suara (atau suara-suara) tersebut berbicara dengan individu terbabit, berbicara sesama mereka sendiri, ataupun boleh mengarahkan individu untuk melakukan sesuatu yang di luar kehendak mereka sendiri. Bagi individu tersebut, suara itu cukup 'real' atau memang sesuatu yang wujud dan kadangkala ia dilakukan apabila si pendengar tidak lagi dapat menahan diri kerana berulang kali disuruh atau diarah untuk berbuat demikian. 

Kebanyakan mereka yang mengalami gangguan seperti ini tergolong dalam kategori penyakit jiwa jenis psikotik. Pesakit yang mengalami kecelaruan ini tidak lagi dapat membezakan antara sesuatu yang fantasi dengan sesuatu yang realiti.  

Satu lagi kemungkinan yang perlu diambil kira ialah penyalahgunaan dadah. Mereka yang mengambil dadah khususnya heroin, ganja, gam, amfetamina, metamfetamina atau ketamin, boleh juga mengalami simptom yang sama. 

Banyak lagi penyakit jiwa yang boleh membawa kepada akibat yang sama. Namun ia memerlukan proses pemerhatian yang teliti dan mendalam bagi menentukan punca kenapa individu terbabit melakukan perbuatan yang sedemikian.Ini boleh dilakukan di mana-mana Unit Forensik di hospital kerajaan. 

Oleh yang demikian, sebagai satu cabang penyiasatan yang perlu diambilkira dalam hal ini, individu terbabit perlu dinilai oleh Pakar Psikiatri dengan lebih teliti. Ini adalah untuk mengelakkan daripada mereka yang mengalami gangguan jiwa tidak dihumbankan ke dalam penjara walhal apa yang diperlukan adalah rawatan dan pemulihan.

1 comment:

  1. Satu ulasan yang menarik tentang penyakit jiwa yang memerlukan kajian dan penyiasatan. Mungkin juga untuk cabaran masa hadapan dimana jika dilihat sekarang negara seperti Europe & US telah mula membuat kajian tentang 3 komponen pada diri kita iaitu BODY, MIND, SOUL. Tetapi elemen DESIRE tu mereka masukan dalam MIND.

    TQ-yazid

    ReplyDelete