Tuesday 15 December 2009

Kemurungan Semasa Mengandung

Ramai yang berpendapat bahawa kemurungan jarang sekali berlaku dalam kalangan wanita yang mengandung. Maklumlah mengandung merupakan antara masa yang paling indah dalam hidup seorang wanita. Kegembiraan yang dikecapi oleh pasangan yang terlibat tentunya bertindak sebagai pendinding atau penghalang kepada berlakunya simptom kemurungan.

Namun hakikatnya, hampir 10-20% wanita yang mengandung mengalami masalah kemurungan. Simptom yang dialami sama sahaja dengan simptom kemurungan di waktu-waktu yang lain. Dalam erti kata lain, mengandungkan anak bukanlah satu 'protective factor' atau faktor penyelamat daripada seseorang wanita itu daripada mengalami masalah kemurungan.



Apa yang lebih membimbangkan ialah rawatan yang cukup terhad yang boleh diberikan kepada bakal ibu yang terbabit. Seperti yang semua daripada kita sedia maklum, seboleh-bolehnya apa jua bentuk ubat-ubatan perlu dihindari dalam kalangan wanita yang mengadung terutama di dalam 13-14 minggu yang pertama. Ini adalah kerana kita tidak mahu mengganggu proses pembentukan organ-organ penting  terutama otak yang berlaku dalam masa tersebut.

Walau bagaimanapun, kadang kala kita terpaksa juga memberi rawatan kepada pesakit walau pun dalam tempoh tersebut. Simptom yang berterusan atau keadaan pesakit yang kritikal atau boleh membawa kemudaratan kepada ibu yang mengandung merupakan antara indikasi dimana rawatan perlu diberikan walau pun wujudnya risiko kepada kandungan dan bayi kerana mengambil ubat-ubatan berkenaan. Secara etikanya , seseorang doktor itu perlu lebih mementingkan kesihatan ibu yang mengandung daripada bayi dalam kandungan tersebut.

Sila rujuk kepada doktor anda untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut mengenai masalah ini.

No comments:

Post a Comment