Monday 23 March 2009

Masalah Isteri Teraniaya

Salam sejahtera doktor.

Saya mengalami masalah jiwa pada ketika ini......Apa yang berlaku berpunca dari ketidakjujuran suami saya selama ini terhadap saya. Dia telah berlaku curang dibelakang saya sebelum ini......tetapi setelah sekian lama dia berbohong dengan perbuatannya itu, akhirnya dia berterus terang akan kesilapan yang telah dia lakukan. Walaupun dia telah menceritakan perbuatan dan kecurangannya itu, saya masih tidak boleh menerima diatas apa yang berlaku. Timbul difikiran ini yang dia seorang yang tidak jujur dan tak setia dengan saya serta keluarga selama ini.




Saya amat bersedih dan selalu menangis apabila saya mengingati kembali perbuatan yang telah dia ceritakan kepada saya. Saya berasa jiwa saya amat tertekan dan tidak tahu bagaimana mahu untuk mengatasi dan melupakan peristiwa itu. Kata-katanya sering menghantui diri dan menakutkan saya. Pelbagai aktiviti riadah dan amal yang telah saya lakukan untuk tidak terus berfikir akan perkara itu.

Terkadang saya menjadi benci dan sering bertanya dengan suami saya samada dia masih meneruskan perbuatan itu ataupun tidak. Sehingga timbul ketidakpercayaan pada dirinya lagi. Bagaimanakah jalan terbaik yang harus saya lakukan untuk melupakan perbuatannya itu dan sekaligus melenyapkan keburuksangkaan saya terhadap suami dan menerimanya kembali kejujurannya?

Sekian,Isteri teraniaya.....

Jawapan

Assalamualaikum

Ramai dalam kalangan wanita yang datang berjumpa saya mengalami masalah yang sama sebenarnya. Suami curang, berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri pertama, menjalinkan hubungan dengan ramai wanita, mahu berkahwin lagi walaupun jelas tidak mampu dan sebagainya merupakan antara alasan yang diberikan.

Sifat lelaki sememangnya bersifat 'poligamous' dan itu sebenarnya telah lama diketahui. Atas dasar itulah , Islam menghalalkan poligami. Namun ia bukanlah boleh dipermain-mainkan atau diamalkan mengikut interpretasi sendiri seperti yang dibuat oleh ramai lelaki di negara ini.

Wanita pula sememangnya dilahirkan bersifat 'monogamous' dan menumpukan sepenuh kasih sayang kepada suami. Namun jika kepercayaan yang diberikan telah dikhianati, ianya cukup menghiris perasaan.

Apa yang diluahkan oleh si isteri di atas merupakan rintihan seorang isteri yang merasa dirinya ditipu, dikhianati dan dibohongi oleh seorang yang bergelar suami.

Ramai dalam kalangan mereka yang menerima nasib yang sama memilih untuk menganggapnya sebagai takdir dan meneruskan kehidupan demi kebaikan anak-anak. Mereka ini menderita dalam senyap dan ia mungkin akan memberi akibat buruk di masa hadapan.

Saya selalu memberi pilihan berikut kepada para isteri - antaranya ...
  1. Memilih untuk terus bersama suami - walaupun pahit namun terpaksa terus ditelan. ada yang berpendapat lebih baik suami dibenarkan berpoligami daripada dibiar terus bergelumang dengan dosa.
  2. Memilih untuk berpisah - jika dia merasakan itu jalan yang terbaik walau pun ia mungkin membawa implikasi dari segi kewangan dan masa depan anak-anak. namun jika itu boleh menenangkan jiwa sendiri, mungkin itulah jalan yang perlu di ambil
  3. Memilih untuk memaafkan suami dan cuba membawa suami kembali ke pangkal jalan tanpa melibatkan orang ketiga.
Walau apapun yang dipilih, bagi saya - yang paling penting ialah memilih apa yang terbaik untuk kita sendiri dan bukannya untuk orang lain. Kita perlu pentingkan diri dalam hal ini dan bukannya terlalu mengikut hati dan perasaan.
Ianya telah berlaku. Menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah apa-apa. apa yang penting ialah memastikan ia tidak berulang lagi di masa hadapan. Persoalan sama ada sanggup untuk memaafkan atau tidak merupakan hak si isteri.
Hakikatnya jika sebarang usaha yang dibuat tidak membawa hasil, mungkin menggunakan khidmat profesional boleh dipertimbangkan. Sememangnya rawatan kaunseling/psikoterapi boleh membantu. Begitu juga ubat-ubatan boleh diberikan sekiranya perlu demi untuk memastikan kesejahteraan si isteri.
Kuasa penentu di tangan anda . Gunakan dengan sebaiknya. Buat keputusan bukan berdasarkan emosi tetapi harus melihat dari semua segi dengan objektif. Mohonlah pertolongan kepada Allah Yang Maha Esa untuk membantu anda memilih jalan yang terbaik.
Jika dirasakan perlukan, rujuklah kepada mereka yang berpengalaman dan mampu membantu...
Wassalam.

1 comment:

  1. K telah berkahwin dengan R selepas diperkenalkan oleh A. A telah berpesan kepada K supaya membentuk R. Keluarga K tidak tahu apa maksud membentuk R.

    Selepas beberapa tahun berkahwin, abang K iaitu I telah mendengar bermacam-macam cerita R dan beliau mula menyiasat dari masa kesemasa.

    Semasa K berkahwin dengan R, semua wang simpanan K telah diguna oleh R. R juga membuat hutang bank serta koperasi sekolah serta orang-orang kampung yang dikenalinya. Setelah hutang kepada orang kampung tidak dibayar, dia mula minta pinjam dari saudara/saudari K. Hutang itu juga tidak dibayar. Ada pun yang dia bayar kerana terpaksa atas ugutan dari pemberi pinjam.

    Beliau juga menggunakan wang gaji K sehingga meletakkan kad ATM kepada syarikat kewangan. R melakukan perkara itu kerana gaji beliau telah ditahan oleh pihak sekolah. Beliau juga tidak pergi kesekolah beberapa bulan untuk mengajar.

    Apa yang menjadi masalah sekarang, K terpaksa menanggung hutang R dan terpaksa merempat di rumah saudaranya. K hanya mendapat gaji sebanyak RM200.00 sebulan setelah hutang R dipotong oleh syarikat kewangan.

    K tidak boleh tinggal dirumahnya kerana bekalan air tertunggak melebih RM600.00 dan bekalan elektrik tidak diketahui lagi. Cukai tanah dan cukai pintu juga tidak diketahui lagi. Rumah akan dilelong sekiranya K tidak dapat menjelaskan tunggakan lebih kurang RM5,000.00 hingga RM8,000.00.

    Sebelum R berkahwin dengan K, beliau telah berkahwin dengan seorang perempuan dan mendapat seorang anak. Perceraian berlaku dikatakan isterinya telah membuat curang di Alor Setar dengan pemuda Pakistan. Perkara ini diceritakan oleh A untuk membuat K simpati.

    Kerana ketakutan kepada along, K telah keluar rumah dan menumpang di rumah abangnya M. Selepas itu R tidak pernah mencari atau menghubungi K. M telah membawa K ke syarikat kewangan dan mendapati R membuat pinjaman tambahan. K ke mahkamah membuat tuntutan cerai kerana tak tahan lagi dengan R.

    Pada 21.11.2011, pihak Mahkamah Syarie Daerah Kuala Muda telah memaklumkan kepada K tuntutan cerai tidak boleh dilakukan kerana sapina tidak dapat dihantar kepada R. K sekarang ini terawang-awang kerana rumah tergadai, hutang kena bayar, penceraian tak boleh dilakukan dan lain-lain lagi.

    Yang peliknya, kenapa seorang guru iaitu R tidak diambil tindakan setelah beliau tidak hadir ke sekolah semenjak bulan 3/2011 hingga lebih kurang 11/2011 pihak sekolah dan Kementerian. Apakah ini standard sekolah dan Kementerian. Apakah guru-guru sekolah seperti ini mempunyai keistimewaan.

    Sekarang ini saya sebagai abang ingin sesiapa yang simpati dapat memberi pandangan kepada saya bagi meringankan beban K.

    ReplyDelete