Thursday, 22 October 2009

Dadah Sintetik Lebih Sukar Untuk Diubati

Trend masalah penagihan dadah di Malaysia sebenarnya telah banyak berubah. Kebanjiran dadah sintetik cukup membimbangkan. Kalau dulu, ramai dalam kalangan penagih Melayu lebih tertumpu kepada ganja dan heroin, namun kini mereka telah berubah atau beralih kepada dadah jenis sintetik pula.

Puncanya ....


Tuesday, 20 October 2009

Tidak Tahu Menari Dikatakan Lantai Jongkang Jongket

Dalam ilmu psikologi dan perubatan jiwa, ada terdapat satu konsep yang dipanggil defence mechanism atau dalam Bahasa Malaysianya - mekanisma helah bela diri

Defense mechanism ini merujuk kepada cara atau teknik seseorang itu memberi alasan terhadap sesuatu tindakan yang telah dilakukannya. Tujuan utama ialah untuk mengurangkan anxiety atau kegelisahan yang mungkin timbul akibatdaripada kelakuan atau tingkahlaku tersebut. Kerapkali ia bukanlah alasan yang sebenar tetapi tetap dilakukan kerana dengan cara itulah seseorang individu itu boleh menutup kesalahan atau kelemahan diri sendiri

Sunday, 18 October 2009

Stres dan Peperiksaan

Setiap kali peperiksaan utama menjelang tiba, maka ramailah anak-anak kita yang mula mengelabah. UPSR dan PMR dah berlalu, kini SPM pula menghampiri mereka.

Dalam era di mana keputusan peperiksaan dianggap satu lambang kejayaan yang hakiki, maka lebih ramai lah pelajar yang ditimpa masalah stres dan tekanan jiwa.

Baru-baru ini terdapat seorang pelajar daripada sekolah yang terkenal di bandar ini ada berjumpa saya. Berubah perangai, menyisihkan diri, bercakap seorang diri, berasa takut seolah-olah ada orang akan menangkapnya, tidak boleh tidur, gelisah dan seolah-olah berada dalam dunia sendiri.

Guru kaunseling sekolah berkenaan telah menasihatkan ibu bapa beliau berjumpa Pengamal Perubatan Homeopati. Namun setelah dua hari mengambil ubat daripada tempat berkenaan, keadaan beliau menjadi bertambah buruk.

Bila peperiksaan PMR menjelang tiba, beliau gagal untuk menjawab sebarang soalan. Akhirnya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Rupanya beliau merupakan pelajar yang cemerlang. Berjaya mendapat markah yang agak tinggi dalam peperiksaan percubaan yang baru lalu. Namun disebabkan tidak tahan dengan tekanan menjelang peperiksaan, beliau terus mendapat masalah gangguan jiwa.

Daripada pemeriksaan, jelas bahawa pelajar berkenaan sememangnya mengalami masalah jiwa yang serius - acute psychosis atau psikosis yang akut. Setelah beberapa hari mendapat rawatan, beliau telah beransur pulih daripada penyakit yang dihidapi.

Ini adalah antara contoh bagaimana stres boleh menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit jiwa. Jika mendapat rawatan awal, mungkin beliau sempat untuk mengambil peperiksaan semula.

Penyakit jiwa boleh diubati dan dirawat. Ia bukan buatan orang atau disebabkan oleh hantu syaitan. Berjumpalah doktor sekiranya tidak pasti. Guru kaunseling juga sepatutnya lebih peka dengan perkara sebegini kerana mereka dilatih untuk mengenali masalah jiwa semasa di universiti dulu.

Sedih juga dengan apa yang berlaku. Namun mungkin ada hikmah lain di sebalik apa yang telah berlaku.

Tuesday, 6 October 2009

Minggu Kesihatan Mental, Jantung & Kanser Payudara 2009 di Kedah Medical Centre

  1. 10/10/2009 Sabtu (9.30am – 11.00am) : Ceramah Kesihatan oleh Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud – Pakar Perubatan Neuro Behavioral : (Stres dan Gangguan Jiwa)
  2. Ahad – Jumaat (11 – 16/10/2009) - Pameran Kesihatan oleh Unit Promosi, Pejabat Kesihatan Daerah / Agensi Anti Dadah Kebangsaan / Unit Narkotik /Pfizer/ LPPKN
  3. 12/10/2009 Isnin, 9.00am – 10.00 am - Ceramah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Permasalahan Dadah Semasa)
  4. 13/10/2009 Selasa : Jamuan Hari Raya & Deepavali Perasmian oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak - Menteri Besar Kedah Darul Aman merangkapPengerusi Kedah Medical Centre
  5. 13/10/2009 Selasa (12.00am – 4.00pm) - Pemeriksaan tahap nikotin di dalam badan oleh Pfizer (percuma
  6. 13/10/2009 Selasa (11.00am – 4.00pm) - Pemeriksaan mata percuma
  7. 14/10/2009 Rabu (2.00pm – 3.00pm)Ceramah kesihatan oleh Dr Mahfudz Zakaria Pakar Telinga, Hidung & Tekak (Dengkuran Membawa Maut)
  8. 14 – 15/10/2009 (Rabu & Khamis) Pemeriksaan kesihatan (tekanan darah & gula dalam darah) – percuma (10.00am – 11.00am)
  9. 15/10/2009 Khamis (9.00am – 10.00am)Ceramah kesihatan oleh Dato’ Dr Amin SaniPakar Jantung (Sayangi Jantung Anda)

Wednesday, 16 September 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Sempena menyambut hari raya yang akan tiba tidak lama lagi, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
kepada semua muslimin dan muslimat tidak kira di mana saja anda berada.

Normal atau Tidak Normal

Persoalannya yang sering diutarakan ialah – adakah pemikiran atau kelakuan kita sendiri itu normal dan bilakah ia dianggap tidak normal?

Dari segi teori psikiatri - antara kriteria utama ialah :
  1. Deviation from the statistical norms - the normal statistical deviation
    § Menyimpang daripada statistik yang normal
    § Contoh : diluar +/- 2 deviasi piawai (standard)
    § Terlebih pandai atau terlebih bodoh
  2. Deviation from social norms
    § Menyimpang daripada norma-norma sosial
    § Apa yang diaggap normal dalam masyarakat setempat
    § Homoseksual – masyarakat barat = normal / biasa – tidak dikira sebagai penyakit jiwa ; dalam masyarakat kita = dikira tidak normal
    § Boleh berubah mengikut masa dan keadaan
  3. Maladaptiveness of behavior
    § Tingkah laku maladaptif
    § Individu cuba membunuh diri – Individu minum alkohol terlalu banyak hingga menyebabkan dia tidak dapat bekerja atau menjaga anaknya dengan baik.
  4. Personal distress
    § Ia dikira tidak normal sekiranya boleh menyebabkan penderitaan kepada individu – dari segi perasaan
    § Contoh – murung – resah – gelisah – tension

Cara lain (4 D) : apabila pesakit menunjukkan gejala / perangai/ tingkah laku yang memenuhi kriteria berikut
o Dysfunction – disfungsi ; gagal berfungsi dengan baik
o Deviation – deviasi – menyimpang
o Dangerous – membahayakan
o Distress – menyebabkan penderitaan

Saturday, 5 September 2009

Kemasukan ke Wad Untuk Tujuan Rawatan & Pemulihan

Menurut Ordinan Penyakit Mental 1952 – Mental Disorder Ordinance 1952, seseorang pengamal perubatan boleh mewajibkan individu yang disyaki mengalami masalah mental atau jiwa memasuki wad
  • Melalui borang A – selama maksimum 3 bulan untuk tujuan penilaian & rawatan (boleh disambung sekiranya perlu)
  • Melalui borang B – selama 2 minggu untuk tujuan penilaian

Pengesahan seseorang itu mengalami masalah jiwa bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan. Sekiranya individu tersebut disahkan mengalami masalah mental atau jiwa , khususnya masalah jiwa yang serius – dia akan hilang kelayakan untuk

  • Membuat sebarang perjanjian – jual beli , pusaka , perkahwinan dan sebagainya
  • Implikasi : sosial, pekerjaan, pendidikan , politik dan sebagainya.
  • Pandangan masyarakat
  • Stigma dan sebagainya

Friday, 28 August 2009

Kuliah Ramadhan di Radio Kedah FM

Kedah FM
(Masa : 1.45 -2.30ptg) (Siaran langsung daripada Surau Insaniah)
07/09/2009
Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud
Tajuk
Tenang Hati
Selamat Mendengar

Friday, 21 August 2009

Laman Maya Baru

Sila layari laman baru berikut

http://drwanrushidi.multiply.com

Ia merangkumi blog, gambar serta pelbagai aktiviti termasuk facebook.

Laman blog http://drwanrushidi.blogspot.com akan tetap beroperasi seperti biasa.

Terima kasih dan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada semua umat Islam.

Wednesday, 12 August 2009

Ceramah Stres & Gangguan Jiwa di KMC Hari ini

Ceramah Stres & Gangguan Jiwa dalam Kalangan Masyarakat Moden akan berlangsung di Tingkat 8, Kedah Medical Centre hari ini - jam 2.30 petang.

Semua dijemput hadir.

Terima kasih

Thursday, 6 August 2009

Fenomena Buang Bayi - Apakah Kesudahannya?

Saban hari kita membaca dalam akhbar cerita mengenai kes buang bayi yang berlaku di negara kita. Ada yang dibuang di dalam tong sampah, dalam tandas, di tepi jalan, di depan rumah orang, di dalam masjid. Malah ada juga yang telah dibaham biawak..

Mengapa dan kenapa ini berlaku? Apakah orang Malaysia ini telah hilang panduan dan pedoman? Begitu rapuhnya dan ceteknya iman orang kita sekarang ini.

Mengapa kita tidak mahu mengakui bahawa ini adalah satu masalah yang besar? Mengapa kita masih tidak mahu mengakui bahawa seks di luar nikah berlaku di merata-rata. Anak-anak muda telah hilang punca dan pegangan agama.

Kita masih berselindung di sebalik betapa berdosanya mereka. Betapa Islam tidak membenarkan zina dan sebagainya.Itu semua benar. Tetapi hakikatnya ia berlaku. Kita tidak boleh mengambil pendekatan untuk menafikan kewujudannya. Menafikan ialah denial dan ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Benar, kita impikan senario di mana ia tidak berlaku langsung. Benar , kita mahukan anak-anak muda kita hanya melakukan seks selepas perkahwinan yang sah. Itu adalah sesuatu yang ideal.

Hakikatnya, seks di luar nikah sudah berlaku. Anak di luar nikah pun ada di mana-mana. Kenapa kita mesti menghukum anak-anak yang baru dilahirkan ini dengan death sentence? Kenapa perlu mereka diabaikan , dibiarkan mati dibaham biawak atau dibuang dalam tong-tong sampah seolah-olah nyawa mereka tidak langsung berharga. Mereka juga manusia. Mereka juga makhluk Allah yang mempunyai hak untuk hidup.

Kenapa kita tidak adakan satu one stop centre supaya bakal ibu-ibu muda yang telah terjerumus itu boleh mendapat bantuan dan pertolongan? Kenapa harus kita terus mendera mereka dengan seribu penyiksaan. Apakah kita semua tidak pernah melakukan kesilapan? Mereka ini perlukan bantuan bukannya kejian dan maki hamun. Sekali kita melakukan kesilapan tidak semestinya kita akan terus hanyut...

Bantulah mereka. Sayangilah mereka. Mungkin dengan cara itu nanti mereka akan kembali ke jalan yang benar. Kembali ke jalan yang diredhai Allah, Insya Allah!

Wednesday, 5 August 2009

Ceramah Gangguan Jiwa Dalam Kalangan Masyarakat Moden

Tajuk:
Gangguan Jiwa Dalam Kalangan Masyarakat Moden

Tempat:
Bilik Syarahan,Tingkat 8, Kedah Medical Centre.

Tarikh:
Rabu - 12.08.2009

Masa:
2.30 petang

Penceramah:
Dr Wan Mohd Rushidi Haji Wan Mahmud

SEMUA DIJEMPUT HADIR

Monday, 3 August 2009

Masalah Rumah Tangga

Sejak kebelakangan ini, saya menerima ramai pesakit yang mempunyai masalah rumah tangga. Sedih juga bila difikirkan. Baru sahaja berumah tangga, sudah ingin bercerai berai.

Menariknya, kebanyakan daripada mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Bukannya dipilih oleh keluarga. Tapi mengapa ia tidak berkekalan. Orang dahulu, kahwin atas pilihan ibu bapa, tapi kekal hingga ke akhir hayat.

Saya selalu berpesan kepada mereka yang ingin melangkah ke alam rumah tangga. Pilih mereka yang sangat-sangat menyayangi kita dan bukan memilih mereka yang amat kita sayangi.

Sesungguhnya orang yang teramat menyayangi kita tidak akan melukakan hati kita dan akan menjaga kita hingga ke akhir hayat. Orang yang terlalu kita sayangi tidak semestinya berbuat demikian.

Renung-renungkan....

Friday, 24 July 2009

Histeria - Buatan Orang, Makhluk Halus Atau Gangguan Jiwa?


Soalan ini sering dikemukakan setiap kali saya memberi ceramah. Dari segi perubatan histeria sememangnya termasuk dalam salah satu kategori penyakit atau gangguan jiwa. Punca utama yang dikenalpasti selalunya ialah tekanan yang keterlaluan.

Hakikatnya, masyarakat kita tidak melihatnya sedemikian. Sebaliknya, bomoh atau pengamal perubatan tradisional menjadi mereka yang pertama dicari setiap kali ianya berlaku.

Sebenarnya ia boleh dirawat dan diubati dengan cara perubatan moden. Tapi samalah seperti mana-mana masalah jiwa, stigma yang menebal dalam kalangan kita menghalang mereka untuk datang mendapat rawatan. Hanya apabila tidak ada lagi pilihan barulah mereka dibawa ke hospital...

Wednesday, 22 July 2009

Ceramah Stres Yang Akan Datang

Ceramah stres saya yang seterusnya ialah kepada kakitangan TNB pada 26.07.2009 di Wisma TNB, Alor Setar, Kedah - 11.45 pagi-12.30 tengah hari

Info Asas Mengenai Penyakit Mental

Saya memohon maaf kepada mereka yang kerap mengikuti blog ini kerana agak 'kurang aktif' menulis sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana penglibatan dalam aktiviti lain yang menyebabkan masa untuk menulis agak terhad. Tapi kini Alhamdulillah, saya mempunyai masa kembali untuk bersama dengan anda semua.

Ketika membuat search dalam google hari ini, saya tertarik dengan leaflet ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai asas penyakit mental dalam bentuk pdf. Anda boleh mengakses laman tersebut di alamat berikut

http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Mental/PenyakitMental.pdf


Selamat Membaca ...

Tuesday, 7 July 2009

Tekanan Semasa Orientasi...

Minggu orientasi - antara minggu yang paling penting dalam hidup seorang mahasiswa. Ada yang mendapat kenangan manis, namun tak kurang yang mengalami pelbagai trauma...

Walaupun orientasi yang keterlaluan diharamkan di institusi pengajian tinggi, namun hakikatnya, fenomena itu masih berlaku. Bukan mudah untuk mengawal anak-anak muda zaman sekarang.

Apa yang menyedihkan ialah ada diantara pelajar baru yang tidak tahan dengan dugaan atau stres yang diterima. Ada yang mengalami tekanan perasaan, murung, sedih dan tak kurang juga yang mengalami masalah mental yang lebih serius.

Umur 18 - 25 tahun merupakan masa yang paling kritikal dalam hidup seseorang individu. Namun harus diingat, waktu ini juga merupakan waktu puncak di mana seseorang itu boleh mengalami pelbagai masalah jiwa.Silap langkah buruk padahnya....

Saya kerap menerima kes yang sedemikian terutama dalam musim begini. Lazimnya orang kita sering menyalahkan makhluk halus, badi dan sebagainya. Maka bomoh juga akan turut sibuk pada waktu begini!

Memang tekanan boleh menyebabkan seseorang itu hilang kewarasannya. Walau apa pun alasan yang diberi untuk melakukan 'rangging' dan sebagainya, ia masih tidak boleh diterima. Masa depan anak bangsa akan musnah hanya kerana kita ingin bersuka-suka. Kita mungkin seronok untuk seketika tetapi mereka yang menjadi mangsa mungkin akan punah masa depan. Ibu bapa akan turut kecewa dan menderita.

Saya amat berharap amalan seperti ini tidak akan diteruskan demi kebaikan bersama. Carilah cara lain untuk bersuka-suka dan bukannya asyik suka menghancurkan agama dan bangsa sendiri..

Wednesday, 24 June 2009

Ceramah Stres di Maktab Mahmud (23.06.2009)



Sunday, 21 June 2009

Jumlah Pesakit Mental Bertambah

Sumber dari Utusan Malaysia Online : 20.06.2009

Pesakit mental bertambah

KUALA LUMPUR 19 Jun - Jumlah pesakit mental di negara ini terus meningkat apabila sebanyak 400,227 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 346,196 kes tahun sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik juga menunjukkan sebanyak 11.2 peratus daripada pesakit mental terdiri daripada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.
"Lebih membimbangkan jumlah kes bunuh diri berpunca daripada sakit mental turut meningkat dari tahun ke tahun,'' katanya dalam teks ucapan perasmian Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia 2009 ke-14 di sini, hari ini.Ia dibacakan oleh Pengarah Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azmi Shapie.

Daripada 400,227 pesakit mental yang dicatatkan tahun lalu, seramai 379,010 orang terdiri daripada pesakit luar, manakala pesakit mental yang menetap di hospital seramai 21,217 orang.
Beliau juga berkata, jumlah kes bunuh diri turut meningkat daripada lapan kes bagi setiap 100,000 orang pada era 1980-an kepada 12 kes bagi nisbah yang sama ketika ini.Menurutnya, kaum India paling ramai terlibat dengan kes bunuh diri apabila mencatatkan sebanyak 30 hingga 35 kes bagi setiap 100,000 orang.

Dalam pada itu Azmi pada sidang akhbar berkata, simptom penyakit mental yang paling tinggi dicatatkan ialah schizophrenia berikutan kelewatan keluarga membawa pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital. "Ramai yang menganggap apabila seseorang itu mengalami simptom kemurungan ia hanya sementara sahaja, sebaliknya ia boleh mengakibatkan seseorang itu berhadapan dengan masalah mental jika tidak dirawat secepat mungkin," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat harus peka dengan perubahan ahli keluarga masing-masing supaya dapat membantu kerajaan menangani masalah pesakit mental.

Wednesday, 17 June 2009

Tulisan Dalam Akhbar Utusan Malaysia

Beberapa tahun dahulu, saya ada menulis di ruangan forum dalam Utusan Malaysia. Namun oleh sebab telah lama , maka saya tidak lagi menyimpan keratan akhbar tersebut.
Secara kebetulan , ketika melakukan pencarian dalam Utusan Malaysia Online, saya telah terjumpa 2 artikel tersebut yang telah ditulis pada tahun 2004 dan 2005.

Anda boleh membacanya disini :

  1. Cadangan Tangani Kos Rawatan Awam (Utusan Malaysia 14.12.2004 - Ruangan Forum)
  2. Dadah: Tolak Cadangan YB, Ikut Syor Pakar Perubatan - Utusan Malaysia (18.04.2005 : Ruangan Forum)

Thursday, 11 June 2009

Masalah Wanita & Rumah Tangga

Baru-baru ini saya berjumpa salah seorang pesakit wanita yang telah lama mendapat rawatan di Kedah Medical Centre. Beliau mengalami masalah kemurungan - puncanya : masalah rumah tangga - digantung tidak bertali oleh suaminya.

Masalah beliau telah berlarutan hampir 7 tahun tetapi hingga kini mahkamah masih belum dapat membuat sebarang keputusan..Akibatnya beliau bukan sahaja mengalami masalah kemurungan, malah seluruh hidup beliau berada dalam keadaan tunggang langgang.

Saya rasa pihak yang berkenaan perlu berbuat sesuatu mengenai masalah ini. Sudah tiba masanya lebih banyak pembelaan diberikan kepada wanita yang berada dalam situasi sebegini. Jikalau tidak, akan lebih ramai wanita akan menderita seperti pesakit ini...

Sunday, 31 May 2009

Dr. Wan Dalam Media : SINAR (30.5.2009 : U25)


Friday, 29 May 2009

Monday, 18 May 2009

Ceramah Stres & EQ di Sik (18.4.2009)

Ceramah untuk guru dan wargakerja Sekolah Menengah Teknik, Jalan Stadium , Alor Setar, Kedah Darul Aman

Tuesday, 28 April 2009

Dr. Wan Dalam Media : SINAR (27.4.2009 : U16)


Friday, 24 April 2009

Dr. Wan Dalam Media : SINAR (24.4.2009 : U6)


Tuesday, 14 April 2009

Dr. Wan Dalam Media : SINAR (13.4.2009 : U6)


Friday, 3 April 2009

Dr. Wan Dalam Media : SINAR (2.4.2009 : U6)


Monday, 30 March 2009

Dr. Wan Dalam Media : SINAR (30.3.2009 : U1 & U6)




Monday, 23 March 2009

Masalah Isteri Teraniaya

Salam sejahtera doktor.

Saya mengalami masalah jiwa pada ketika ini......Apa yang berlaku berpunca dari ketidakjujuran suami saya selama ini terhadap saya. Dia telah berlaku curang dibelakang saya sebelum ini......tetapi setelah sekian lama dia berbohong dengan perbuatannya itu, akhirnya dia berterus terang akan kesilapan yang telah dia lakukan. Walaupun dia telah menceritakan perbuatan dan kecurangannya itu, saya masih tidak boleh menerima diatas apa yang berlaku. Timbul difikiran ini yang dia seorang yang tidak jujur dan tak setia dengan saya serta keluarga selama ini.


Tekanan dan Gangguan Jiwa dalam Kalangan Masyarakat Moden

Berikut adalah artikel yang saya tulis tidak lama dahulu. Ia adalah berkenaan tekanan dan gangguan jiwa dalam kalangan masyarakat moden. Saya berharap ia akan memberi munafaat kepada semua.
Terima kasih

TEKANAN DAN GANGGUAN JIWA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MODEN

Friday, 20 March 2009

Ceramah Mengenai Kaunseling

Berikut adalah file pdf ceramah kaunseling yang telah diberikan baru-baru ini. Anda boleh melayarinya di alamat berikut :
CERAMAH KAUNSELING (BAHASA INGGERIS)

Terima kasih di atas sokongan anda semua.

Tuesday, 24 February 2009

Petua Untuk Mudah Tidur

'Sleep hygiene' atau diterjemahkan sebagai kebersihan tidur merupakan antara amalan yang boleh dilakukan setiap malam sebagai persiapan bagi memudahkan anda untuk tidur dengan lebih selesa. Suasana tidur yang bersesuaian dan wujudnya 'cue’ / isyarat khusus sebelum tidur merupakan elemen penting yang perlu dititik beratkan.

Amalan 'Sleep Hygiene' ini termasuk :

  1. Mengamalkan cara hidup yang sihat – bersukan / bersenam selalu ( tetapi bukannya sejurus sebelum tidur)
  2. Berendam air suam sebelum tidur
  3. Teknik relaksasi sebelum tidur
  4. Minum susu sebelum tidur
  5. Jangan makan berlebihan sebelum tidur
  6. Kurangkan gangguan bunyi
  7. Malapkan lampu
  8. Tempat tidur yang selesa
  9. Jangan menonton TV / makan / melakukan aktiviti yang kurang sesuai di tempat tidur. Tempat tidur hanya untuk tidur
  10. Pergi ke tempat tidur hanya bila mengantuk – jika masih tidak boleh tidur selepas 10 – 15 minit , bangun dan lakukan aktiviti di tempat lain . Anda sepatututnya cuma kembali ke tempat tidur jika benar-benar mengantuk
  11. Tetapkan masa yang sesuai untuk tidur setiap hari seperti 11.00 malam.

Cuba amalkan petua ini setiap hari. Insya Allah tidur anda akan lebih nyenyak sepanjang malam.....

Saturday, 21 February 2009

Ujian Kecerdasan Minda di KMC

Untuk makluman semua, Ujian Kecerdasan Minda (IQ Test) boleh dibuat di Kedah Medical Centre. Ia selalunya mengambil masa selama 1 - 2 jam. Walau bagaimanapun ujian ini hanya boleh dilakukan ke atas kanak-kanak yang berumur 6 tahun dan ke atas.

**Ujian bagi kanak-kanak kurang daripada 6 tahun tetapi lebih daripada 5 tahun boleh juga dibuat tetapi ia akan mengambil masa yang lebih lama.

Secara umumnya , ujian ini dijalankan ke atas kanak-kanak yang mengalami masalah
  1. kesukaran untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran
  2. perkembangan yang lambat
  3. masalah pertuturan atau lambat bercakap
  4. pencapaian yang lemah walau pun telah puas berusaha dan lain-lain.

Apa yang penting ialah untuk menentukan masalah yang mereka alami adalah bersifat global atau specifik. Ertinya adakah kanak-kanak ini lemah secara keseluruhan atau hanya pada masalah tertentu sahaja - seperti masalah bahasa / pertuturan.

Kita harus menentukan sama ada kanak-kanak tersebut sihat dari segi fizikal khususnya pendengaran dan penglihatan.Ujian kecerdasan minda juga dapat membantu menentukan bentuk rawatan yang perlu diberikan.

Sila hubungi kami jika terdapat sebarang persoalan. Terima kasih

Friday, 20 February 2009

Ceramah Untuk Awam


Mulai bulan ini, Unit Perubatan Neurobehavior KMC telah memulakan semula Program Ceramah Stres & Kesihatan Mental untuk tahun 2009.
Sila hubungi kami jika anda berminat untuk mendapatkan khidmat ini.
SMS: 019-5962494
atau
Terima kasih

Thursday, 19 February 2009

Perjelas Kaedah Terbaik Tangani Penyakit Mental

18 February 2009

Penerangan mengenai masalah kesihatan mental perlu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan penyertaan pelbagai pihak dalam usaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat berhubung kaedah terbaik menangani penyakit terbabit.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hasnah Ismail, berkata pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan penting dalam membantu Kementerian Kesihatan menyalurkan maklumat mengenai kaedah dan pendekatan berkesan menangani penyakit itu.


Selamat Datang Ke Blog Baru Saya

Assalamualaikum,

Saya ingin mengucapkan selamat datang ke blog baru saya yang mula beroperasi secara rasminya pada hari ini.
Dari segi fungsi, blog ini tidak banyak bezanya daripada blog yang terdahulu . Hanya namanya sahaja ditukar bagi memenuhi permintaan daripada pengunjung blog yang lalu.
Terima kasih yang tidak terhingga di atas sokongan anda semua.

Dr Wan Rushidi

Tuesday, 13 January 2009

Ingin Tahu...

Soalan
Assalamualaikum Dr. Wan.......
Saya ingin tahu dan bertanya jika seseorang mengalami tekanan perasaan boleh mengakibatkan badan menjadi lembik seperti lumpuh tetapi deria masih merasa sakit dan segala-galanya
AMT

Jawapan.
Waalaikumsalam. Terima kasih di atas soalan ini.


Tuesday, 6 January 2009

Takut Makan Ubat Jiwa?

Izinkan saya bercerita mengenai seorang pesakit wanita (berumur 27 tahun) yang telah mengalami masalah gangguan jiwa sejak berumur 19 tahun. Beliau pernah mengambil ubat daripada Hospital Pulau Pinang sehinggalah beliau berkahwin pada umur 25 tahun.

Suami beliau, seorang yang lebih cenderung kepada rawatan alternatif telah meminta beliau berhenti mengambil ubat dengan alasan tidak mahu terikat dengan ubat. Pada pandangan si suami, makan ubat membawa kesan buruk . Lebih baik berubat cara agama dan batin daripada mengambil ubat jiwa...

Wednesday, 17 September 2008

kemalangan dan trauma

sebenarnya, dalam tiga empat hari lepas, saya berasa amat sedih di atas kemalangan yang telah menimpa 6 pelajar sekolah kebangsaan telok kechai di jalan kuala kedah, alor star, kedah. lebih-lebih lagi kerana saya merupakan bekas yang dipertua pibg di sekolah tersebut.

ini merupakan kejadian kedua yang berlaku selepas kemalangan maut yang telah meragut nyawa seorang pelajar lelaki pada tahun 2004 yang lalu. saya telah menulis kepada yang berhormat menteri pelajaran dan jabatan pelajaran negeri di samping di dalam akhbar berita harian : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20080917001354/Article
(atau anda boleh membacanya di bawah)


Wednesday, 10 September 2008

histeria penyakit psikiatri

Assalamualaikum,

Maaf kerana telah lama tidak kemaskini blog ini. Insya Allah, saya akan cuba pastikan blog ini berjalan dengan lebih baik di masa akan datang.

Saya cukup tertarik dengan artikel dalam berita minggu baru-baru ini. Ia menjelaskan mengenai histeria melalui pandangan psikiatri .

Pakar yang ditemuramah ialah Prof Azhar Zain. Beliau merupakan boss saya semasa di USM Kubang Kerian dahulu sebelum beliau berpindah ke UPM.

Anda boleh membacanya di bawah atau layari : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20080907094245/Article

Selamat membaca !

Wan Rushidi


Monday, 11 August 2008

histeria

sejak kebelakangan ini, kita banyak mendengar cerita mengenai kejadian histeria di negara kita terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. ramai yang beranggapan histeria adalah disebabkan oleh rasukan syaitan , iblis dan sebagainya. maka dikumpulkanlah segala bomoh, pawang dan lain-lain untuk 'mengubat' rasukan tersebut. malangnya setakat ini keberkesanan rawatan tersebut masih boleh dipertikai.
saya tidak menolak sama sekali perubatan tradisional atau yang berbentuk keagamaan dalam menangani masalah ini. jauh sama sekali. tetapi mengapa tiada yang ingin mencuba cara psikologi dan psikiatri ?
dalam perubatan jiwa, masalah histeria ini telah lama diketahui. 'mass hysteria' telah banyak berlaku di serata dunia dan bukan sahaja di malaysia. pendekatan psikologi dan psikiatri boleh membantu merawat penyakit tersebut.
kita tidak perlu menuduh hantu, syaitan dan sebagainya. ia hanya akan menyebabkan panik dan dalam histeria, inilah cara yang paling mudah untuk memburukkan keadaan. bukan juga memujuk murid supaya pindah dari sekolah yang dianggap keras atau memindahkan jin/syaitan dan sebagainya melalui bas / van.
sebaliknya kita tahu, cara yang paling mudah untuk merawat 'mass hysteria' ialah mengenalpasti mereka yang mula sekali mengalami histeria tersebut dan rawat mereka dengan segera - berasingan daripada rakan mereka yang lain. rawatan yang boleh diberikan termasuk dalam bentuk psikoterapi dan ubat-ubatan dan ini telah terbukti berkesan.
pada masa yang sama, pelajar yang lain akan secara beransur-ansur akan pulih kepada sediakala dengan mudah.
tidak ada salah , malah cukup baik jika kita turut menggunakan Quran & Hadith serta bacaaan doa. cuma jangan dimasukkan atau dicampuradukkan dengan unsur khayalan , hantu dan sebagainya yang hanya akan membantutkan proses rawatan dan pemulihan.

dr wan

Thursday, 17 July 2008

cara menangani tekanan

setiap individu mempunyai cara yang tersendiri untuk menangani stres atau tekanan yang dialami. sesuatu cara mungkin berkesan bagi si a tapi mungkin tidak berkesan langsung kepada si b dan begitulah seterusnya.

gangguan emosi atau jiwa dalam kalangan kanak-kanak sering mengakibatkan perubahan tingkah laku - khususnya berubah perangai dari baik kepada menjadi mudah bebal , tidak mahu mengikut peraturan atau arahan, 'breaking rules' - melakukan kegiatan yang bersalahan dengan undang-undang / peraturan / disiplin dan sebagainya. kalau dikaji dengan teliti, kebanyakan tindakan yang dilakukan adalah untuk mendapat perhatian daripada orang yang tersayang - 'attention seeking behaviour'

memang jarang untuk melihat kanak-kanak yang akan berlari kepada ibu bapa dan berkata - 'mak / abah , cek stres! cek tertekan! cek tension! cek susah hati !' dan sebagainya. antara sebabnya ialah psikologi mereka yang belum terbentuk dengan sempurna. justeru janganlah harap mereka akan dapat meluahkan perasaan seperti orang dewasa.

sikap ini mungkin akan terbawa-bawa di usia remaja dan dewasa kerana itulah cara yang telah dipelajari dan diamalkan sejak daripada kecil lagi. mereka juga cukup selesa dengan cara tersebut. walaupun itu bukanlah cara yang ideal, namun bagi mereka , ia telah terbukti berkesan - jadi mengapa perlu diubah.

antara cara lain yang kurang baik untuk menangani stres / tekanan atau apabila dilanda masalah ialah
1. menyalahkan orang lain - blaming others
2. menyalahkan diri sendiri - self blame
3. mencari jalan keluarga dengan cara yang mudah - dadah, arak dan sebagainya.

ada juga mereka yang tidak berupaya menangani masalah menggunakan mekanisma pertahanan diri berikut :
1. 'somatization' - iaitu menujukkan masalah yang dialami dalam bentuk fizikal - contohnya mereka yang mengalami kemurungan sering mengadu letih, tidak bertenaga, sakit di merata tempat, berdebar , sakit kepala , sakit perut , sakit belakang dan sebagainya
2. conversion - gangguan emosi sebenarnya telah diganti atau ditukarkan kepada bentuk lain khususnya - fizikal : contohnya pelajar kolej yang tertekan dengan pelajaran dan masalah psikosial akan menjadi 'blank' semasa membuat tugasan / peperiksaan , lumpuh apabila dipukul / ditengking oleh guru dan sebagainya.

cara begini sebenarnya lebih diterima oleh masyarakat kita. sakit fizikal tidak akan membawa stigma berbanding sakit mental / jiwa. ibu bapa akan rela membawa anak-anak berjumpa doktor biasa daripada pakar jiwa. jadi model inilah yang dipelajari oleh anak-anak dan akhirnya diwarisi turun temurun.

tidak ada jalan penyelesaian yang mudah dalam hal ini. tabiat memang susah untuk diubah. seperti kata orang putih - 'old habits die hard'. kita sebenarnya perlu mengubah semua ini.

cara terbaik menangani ketegangan emosi atau kecelaruan jiwa ialah dengan mengenal pasti punca masalah dan cuba mengatasinya. meluahkan perasaan dan bijak menangani masalah adalah antara dua elemen utama. tetapi bagi saya langkah pertama dan yang paling penting ialah mengakui dan menyedari bahawa kita sedang mengalami masaalah . sebabnya - bila kita tahu kita ada masaalah --> barulah kita akan cuba untuk mencari ubat dan jalan penyelesaiannya.

kita juga perlu mencari mekanisma pertahanan diri yang lebih diterima dan berfaedah; dan mengelakkan dari kembali kepada cara lama. tumpuan kepada penyelesaian masalah dan mencari punca-puncanya adalah jauh lebih berkesan ; disamping ubat-ubat yang diberikan. rawatan psikoterapi dan kaunseling juga boleh digunakan.

Sunday, 13 July 2008

tekanan menghadapi peperiksaan

bila peperiksaan utama menjelang tiba - upsr, pmr, spm,stpm dan sebagainya - semakin ramai yang rasa tertekan. kanak-kanak dan pelajar , ibu bapa , guru dan semua mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

dalam dunia sekarang bilangan a yang diperolehi menjadi kayu pengukur.bukan pendidikan yang diutamakan tetapi keputusan peperiksaan semata-mata. yang menjadi mangsanya ialah kanak-kanak, remaja atau golongan pelajar yang terlibat.

ada yang berjumpa saya menangis teresak-esak kerana takut gagal dalam peperiksaan. takut tidak mendapat banyak a seperti yang diharapkan oleh guru dan ibu bapa. mereka tidak sanggup mengecewakan harapan keluarga , walau pun kadang-kadang mereka sendiri tahu, mereka tidak akan mampu untuk mencapainya.

stres, 'breakdown' dan gangguan emosi cukup kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekarang. ada yang cukup teruk sehingga timbul keinginan untuk membunuh diri.

bagi saya ini adalah perkembangan yang tidak sihat. memotivasikan pelajar untuk berjaya perlu ada hadnya. perlu tahu batasannya. tapi yang paling penting, kita perlu prihatin tentang kemampuan individu terbabit. kalau biasanya dapat 30 - 40 markah, janganlah dipaksa untuk mendapat markah 90-100. naikkan sedikit demi sedikit. barulah tekanan yang dihadapi dapat ditangani dengan berkesan.

tekanan jika berlebihan boleh membawa mudarat. jika tidak diberi perhatian, pelajar terbabit akan terus hanyut. akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. kejayaan yang dicari tetapi bala pula yang menanti.

bagi mereka yang menghadapi masalah, luahkanlah kepada mereka yang tersayang. kaunselor sekolah boleh membantu. kalau ia tidak dapat diatasi, carilah mereka yang berkelayakan untuk membantu. kini telah banyak pakar psikologi dan psikiatri - carilah mereka yang berkenan dihati.

Wednesday, 9 July 2008

kanak-kanak, remaja dan masalah jiwa

ramai daripada kita menganggap gangguan jiwa hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa. namun hakikatnya kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami masalah yang sama. gangguan jiwa jenis psikotik mungkin lebih jarang dibandingkan dengan masalah jenis neurotik. tetapi ia masih boleh berlaku terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai genetic loading atau faktor keturunan yang tinggi.

secara umumnya masalah jiwa yang lebih kerap berlaku ialah gangguan emosi dan perasaan terutamanya dalam bentuk kemurungan dan kerisauan (depression and anxiety) . walau bagaimanapun simptom yang ditunjukkan mungkin berbeza. mereka jarang akan mengakui mereka sedih, bimbang, risau , tension , stres , gelisah dan sebagainnya. kerap kali ibu bapa atau guru akan dapat melihat perubahan dari segi perangai dan tingkah laku. daripada periang menjadi pendiam, daripada baik menjadi degil, agresif, sering membantah atau 'membuat perangai'. tidak kurang yang melakukan pelbagai tingkah laku yang kebanyakannya bertujuan untuk menarik perhatian mereka yang tersayang.

performance atau pencapaian akademik mereka juga boleh menjadi garis pengukur yang baik. kanak-kanak atau remaja yang bermasalah sering akan menunjukkan kemerosotan yang ketara, kurang tumpuan dan tidak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan baik. lebih merisaukan apabila mereka beralih kepada dadah dan pelbagai kegiatan tidak bermoral lain sebagai cara untuk menghilangkan tekanan atau simptom yang dialami.

rawatan segera sebenarnya boleh membantu mengelakkan mereka dari terus hanyut dan menderita. ubat-ubatan, kaunseling dan psikoterapi adalah antara bentuk rawatan yang boleh diberikan bergantung kepada jenis dan tahap penyakit yang dialami.

Monday, 7 July 2008

takut berjumpa pakar jiwa

di mana sahaja di malaysia ini, orang cukup fobia dengan perkataan pakar jiwa. sebut saja nak berjumpa pakar jiwa, akan ada orang yang tersenyum dan ada juga yang merasakan ia sesuatu yang lucu. lebih kerap - ramai yang akan terkejut.

"betul ka?" " awat yang nak jumpa pakar jiwa tu ? hang dah gila ka?" "awat teruk sangatkah sampai nak pi jumpa doktor orang gila (lebih kerap --> doktor gila ...) ? "

ungkapan sebegini bukan sahaja datang daripada orang biasa atau orang kampung sahaja. malah ia juga datang daripada orang bandar dan mereka yang berpelajaran tinggi. jangan terkejut kalau mereka yang berada dalam kelompok profesional perubatan pun mempunyai pandangan yang sama.

selalunya bomoh , pawang , pengamal perubatan tradisional dan alternatif akan menjadi tumpuan jika mengalami masalah jiwa. bila sudah habis ikhtiar, bila dah teruk sangat atau bila pesakit dah tak boleh dikawal lagi, barulah pakar jiwa dicari. sedih kan...

pakar jiwa sebenarnya bukan hanya merawat penyakit jiwa yang serius sahaja. golongan tersebut merupakan hanya sebilangan kecil daripada pesakit yang berjumpa pakar jiwa. mereka ini kebanyakannya mengalami masalah jiwa jenis psikotik. serius tapi boleh dirawat dengan mudah terutama kalau datang awal.

lebih ramai daripada pesakit yang datang adalah mereka yang mengalami masalah:
1. kemurungan termasuk kemurungan selepas bersalin dan gila meroyan
2. kerisauan - termasuk penyakit was-was , panik, fobia dan sebagainya.
3.masalah rumah tangga
4. stres dan tekanan perasaan
5. penagihan dadah
6. masalah tidur
7. kanak-kanak seperti autisma, hyperaktif , dysleksia, lambat bertutur, kencing malam, enggan ke sekolah dan lain2.
8. nyanyuk dan perubahan tingkah laku atau personaliti selepas kemalangan.
dan macam-macam lagi.
pakar jiwa juga dapat membantu mereka yang memerlukan kaunseling, ujian psikologi dan sebarang bentuk psikoterapi.

dalam masyarakat moden,berjumpa pakar jiwa merupakan satu fenomena biasa. tiada lagi stigma seperti yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang.
ingin saya tekankan di sini, penyakit jiwa kebanyakannya boleh dirawat. dapatkan pemeriksaan awal. jangan malu berjumpa pakar jiwa. mereka juga manusia biasa. bukan doktor gila...

Tuesday, 1 July 2008

perkhidmatan kaunseling / psikoterapi di kedah medical centre

bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling / psikoterapi di kmc, anda boleh menghubungi nombor berikut 04-7308878.
perkhidmatan ini ditawarkan untuk semua. selalunya masa untuk satu sesi adalah antara 45 minit hingga 1 jam.
caj yang dikenakan adalah berpatutan dan mengikut kadar yang ditetapkan oleh persatuan perubatan malaysia : iaitu antara 100 - 220 bergantung kepada jumlah masa yang diperlukan.