Saban hari kita membaca dalam akhbar cerita mengenai kes buang bayi yang berlaku di negara kita. Ada yang dibuang di dalam tong sampah, dalam tandas, di tepi jalan, di depan rumah orang, di dalam masjid. Malah ada juga yang telah dibaham biawak..
Mengapa dan kenapa ini berlaku? Apakah orang Malaysia ini telah hilang panduan dan pedoman? Begitu rapuhnya dan ceteknya iman orang kita sekarang ini.
Mengapa kita tidak mahu mengakui bahawa ini adalah satu masalah yang besar? Mengapa kita masih tidak mahu mengakui bahawa seks di luar nikah berlaku di merata-rata. Anak-anak muda telah hilang punca dan pegangan agama.
Kita masih berselindung di sebalik betapa berdosanya mereka. Betapa Islam tidak membenarkan zina dan sebagainya.Itu semua benar. Tetapi hakikatnya ia berlaku. Kita tidak boleh mengambil pendekatan untuk menafikan kewujudannya. Menafikan ialah denial dan ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Benar, kita impikan senario di mana ia tidak berlaku langsung. Benar , kita mahukan anak-anak muda kita hanya melakukan seks selepas perkahwinan yang sah. Itu adalah sesuatu yang ideal.
Hakikatnya, seks di luar nikah sudah berlaku. Anak di luar nikah pun ada di mana-mana. Kenapa kita mesti menghukum anak-anak yang baru dilahirkan ini dengan death sentence? Kenapa perlu mereka diabaikan , dibiarkan mati dibaham biawak atau dibuang dalam tong-tong sampah seolah-olah nyawa mereka tidak langsung berharga. Mereka juga manusia. Mereka juga makhluk Allah yang mempunyai hak untuk hidup.
Kenapa kita tidak adakan satu one stop centre supaya bakal ibu-ibu muda yang telah terjerumus itu boleh mendapat bantuan dan pertolongan? Kenapa harus kita terus mendera mereka dengan seribu penyiksaan. Apakah kita semua tidak pernah melakukan kesilapan? Mereka ini perlukan bantuan bukannya kejian dan maki hamun. Sekali kita melakukan kesilapan tidak semestinya kita akan terus hanyut...
Bantulah mereka. Sayangilah mereka. Mungkin dengan cara itu nanti mereka akan kembali ke jalan yang benar. Kembali ke jalan yang diredhai Allah, Insya Allah!
No comments:
Post a Comment