Sepanjang berkhidmat sebagai Pakar sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta, isu ini merupakan antara isu yang paling kerap memeningkan kepala.
Selalunya bagi mereka yang mengalami masalah gangguan jiwa yang sangat serius, itu mungkin tidak menjadi masalah besar. Psikotik, ganas, tidak dapat menjaga diri dan sebagainya merupakan contoh terbaik di mana majikan akan tidak teragak-agak untuk memohon supaya pesakit diberi pencen ilat atau diberhentikan atas alasan kesihatan.
Kadangkala, para doktor selalu akan cuba memastikan bahawa pesakit diberi masa yang secukupnya untuk pulih dan kembali bekerja seperti biasa. Namun jika mereka masih tidak lagi dapat berbuat demikian walaupun beberapa lama dirawat, maka mungkin pencen ilat merupakan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua.
Bagi mereka yang mengalami gangguan jiwa jenis neurotik (contohnya kemurungan, kegelisahan dan sebagainya), ianya tidak semudah itu. Lembaga Perubatan sering membuat kesimpulan bahawa mereka ini masih boleh meneruskan tugas seperti biasa atau sekurang-kurangnya diberi kerja ringan untuk sementara waktu. Oleh yang demikian, pesakit dan majikan, kadangkala berada dalam dilema.
Ramai di antara pesakit yang mengalami masalah serupa akhirnya mengalami masalah yang besar. Tidak boleh bekerja tapi dipaksa untuk bekerja. Majikan pula tersepit kerana tidak boleh mengeluarkan mereka ini daripada senarai dan terpaksa membayar gaji walaupun pekerja terbabit tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan sempurna.
Daripada apa yang difahamkan, kriteria untuk mendapat pencen ilat bagi pesakit psikiatri kini lebih ketat daripada biasa. Jarang sekali didapati kes neurotik diberi pencen berbanding kes psikotik kerana kebanyakan mereka dianggap masih lagi boleh berfungsi seperti biasa. Penderitaan emosi tidak dilihat sebagai sesuatu yang cukup teruk untuk dipertimbangkan bagi pencen tersebut berbanding mereka yang mengalami kecelaruan mental yang serius.
Hasilnya, ramai pesakit akhirnya dipaksa untuk meletak jawatan, atau pun yang lebih malang, dibuang kerja dengan begitu sahaja. Itulah hakikatnya apa yang sedang berlaku di negara ini. Penyakit mental dan gangguan jiwa masih belum menerima pengiktirafan yang sewajarnya berbanding penyakit fizikal yang lain. Nasib mereka masih belum mendapat pembelaan walaupun zaman telah berubah dan negara semakin maju. Namun mentaliti masyarakat dan pemimpin tetap di takuk lama....
Sama-samalah kita semua berdoa agar mereka yang bertanggungjawab dan mampu mengubah semua ini diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah. Mungkin satu hari nanti hasrat kita untuk melihat perubahan besar di negara ini (khususnya berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penyakit mental) akan menjadi satu realiti.
No comments:
Post a Comment