Dr Wan Mohd Rushidi Haji Wan Mahmud
Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Unit Perubatan Neuro-Behavior, Kedah Medical Centre, O5250 Pumpong, Alor Setar, Kedah Darul Aman
Friday, 9 February 2018
Friday, 9 May 2014
Kenapa Kita Lebih Percaya Kepada Bomoh?
Percaya pada bomoh merupakan
satu fenomena yang unik di negara ini. Ia telah wujud sejak turun temurun. Satu
ketika dahulu, bomoh adalah sumber rujukan utama untuk sebarang masalah
kesihatan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Walaupun kini terdapat
perubatan moden yang boleh mengubat pelbagai jenis penyakit, masih ramai dalam
kalangan individu yang lebih percayakan bomoh berbanding ahli perubatan profesional
di klinik mahupun hospital.
Bomoh juga menghadapi saingan
daripada kumpulan perubatan alternatif. Ini termasuk Perubatan Islam, Perubatan
Homeopati, Terapi Vibrasi Warna, Refleksologi, Perubatan Tradisional China dan
sebagainya yang kini tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Namun begitu institusi
‘bomoh’ masih kekal bertapak di bumi Malaysia ini.
Peliknya ia terus popular
walaupun banyak kes penipuan dilaporkan oleh pihak media. Penyelewengan yang
melibatkan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai bomoh memang kerap berlaku,
apatah lagi dengan tiada kawalan dan pemantauan daripada pihak yang berkuasa.
Sesungguhnya itu semua belum cukup untuk menghalang masyarakat daripada terus
mempercayai kebolehan mereka.
Ada yang berpendapat,
kepercayaan kepada bomoh hanya prevalen dalam kalangan mereka yang
berpendapatan rendah. Ini adalah kerana kos rawatan yang dikenakan cukup minima
berbanding kos perubatan moden yang begitu tinggi masa kini. Bomoh juga
kebanyakkannya berada di kawasan kampung yang dekat dengan kediaman mereka berbanding
hospital yang terletak jauh di bandar besar. Ada pula pendapat mengatakan
mereka yang percayakan bomoh terdiri daripada golongan yang tidak berpendidikan.
Oleh yang demikian, golongan ini lebih mudah terpengaruh dan diperkotak-katikkan.
Namun hakikatnya tidak
begitu. Kos rawatan bomoh sekarang bukan murah… Tiada lagi bayaran pengeras sebanyak
RM 2.15 atau sedekah sekadar yang ikhlas. Sebaliknya bayaran konsultasi yang
dikenakan kini ditetapkan terlebih dahulu. Malah ada dalam kalangan bomoh yang
mengenakan bayaran bernilai ribuan ringgit untuk khidmat yang disediakan. Pernah
ada pesakit yang merungut, kos membuang jin, saka dan sebagainya mencecah
hampir RM 2000 setiap sesi. Bayaran pula perlu dibuat secara tunai sebelum
upacara dilangsungkan.
Menariknya juga golongan
yang terbabit bukan lagi orang miskin atau tidak berpendidikan. Sebaliknya
fenomena ini kini melibatkan mereka yang kaya raya, berpendidikan tinggi, dan berpangkat
besar turut terpengaruh. Golongan ini sanggup menghabiskan wang yang banyak, menjejaki
serata pelusuk negara hanya untuk mencari bomoh yang kononnya handal dalam
merawat pelbagai jenis penyakit…
Jadi jelas bahawa kos dan
jarak tempat rawatan, tahap pendidikan atau tahap sosio-ekonomi individu
bukanlah faktor penentu utama yang menyebabkan masyarakat kita lebih percayakan
bomoh berbanding golongan profesional itu sendiri.
Taksub atau kepercayaan yang keterlaluan juga boleh
mengundang padah. Sesetengah individu terkhilaf dalam mempercayai bomoh boleh merawat
segalanya. Ada yang berpendirian bahawa penyakit diberi oleh Allah SWT. Oleh
yang demikian, hanya Allah sahaja yang boleh menyembuhkannya. Tidak perlu
berjumpa doktor kerana ia tidak akan membawa sebarang faedah. Sebaliknya hanya
perlu berjumpa bomoh yang boleh mendoakan terus kepada Yang Maha Esa untuk
memulihkan sesuatu penyakit.
Islam sebenarnya mahu kita berusaha. Perubatan
moden adalah ciptaan Allah SWT sebagai metod untuk merawat penyakit. Ia adalah
sebagai ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Doktor hanya sebagai perantara dan
ubat adalah bahan yang diciptakan oleh Allah SWT untuk membantu kita dalam
usaha tersebut. Benar, kuasa menyembuh tetap hanya ada pada Allah Yang Maha
Esa. Tetapi bertawakkal dan berdoa sahaja tanpa berusaha bukanlah cara yang dianjurkan
oleh Islam.
Anologi paling mudah ialah ketika menghadapi peperiksaan.
Apakah kita boleh lulus hanya dengan berdoa tanpa berusaha sedikit pun? Adakah
tanpa membuat ulangkaji atau membuat rujukan, kita boleh berkata kita telah
mencuba segalanya? Adakah dengan bertawakkal dan berdoa sahaja, kita akan lulus
dengan cemerlang?
Allah SWT tidak mahu hambaNya berbuat demikian. Rasulullah
SAW sendiri pernah bersabda bahawa setiap penyakit ada ubatnya kecuali penyakit
tua dan mati...Ilmu yang diturunkan melalui perubatan moden kini boleh mengubat
pelbagai jenis penyakit yang dialami. Namun perubatan moden juga ada
limitasinya. Tapi ia jauh lebih baik daripada hanya menggunakan jampi serapah
atau ritual yang kadangkala boleh merosakkan akidah.
Dari segi psikologi pula,
terdapat beberapa teori yang telah diketengahkan bagi menjelaskan isu ini. Intimidasi atau takut dengan suasana yang
dikaitkan dengan perubatan moden adalah salah satu daripadanya.
Ujian darah, pengimejan,
imbasan, ujian ultra bunyi, pembedahan, suntikan, doktor, jururawat dan
sebagainya mungkin dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan biasa kepada individu
yang terlibat dalam profesion ini. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang di luar
sana, itu semua adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang menakutkan dan jika
boleh, dijauhi sama sekali.
Itu belum diambilkira
rawatan atau ujian invasif seperti
mengambil air tulang belakang atau sum-sum tulang, terapi eletrokonvulsif (‘karan
otak’) dan sebagainya yang dianggap boleh memberi pelbagai kesan sampingan yang
menyakitkan atau menyebabkan kematian. Keadaan ini diburukkan lagi dengan
gambaran layanan buruk yang disiarkan melalui laman sosial, media konvensional
mahupun alternatif, dan cerita yang diperoleh melalui rakan dan sahabat handai
mengenai perubatan moden di negara ini.
Oleh yang demikian, tidak
hairanlah kenapa para bomoh menjadi pilihan. Mereka hanya menggunakan air jampi
dan ritual mudah untuk merawat apa sahaja penyakit. Ini tentunya satu
alternatif yang jauh lebih menarik dan tidak menakutkan….
Denial atau keengganan untuk menerima hakikat sebenar mungkin antara faktor
pendorong lain mengapa bomoh lebih dipercayai. Kerapkali pesakit tidak mahu
mengakui mereka mengalami sesuatu penyakit atau menjadi penyebab kepada
penyakit tersebut.
Individu yang mengalami
kemurungan akibat masalah rumah tangga contohnya mungkin akan kurang selesa
jika diberitahu bahawa penyakit yang dialami adalah hasil kelemahan atau
kesalahan diri sendiri dalam mengurus rumah tangga, tidak tahu bertolak ansur
atau tidak pandai menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing.
Sebaliknya jika dikatakan
kemurungan itu berpunca daripada buatan orang yang dengki kepada rumah tangga
mereka, atau ingin membalas dendam, alasan sedemikian jauh lebih menarik untuk diterima oleh individu terbabit atau
ahli keluarga yang terlibat. Isu utama adalah enggan memikul tanggungjawab atau
mengakui kelemahan diri. Kesalahan atau beban tidak mahu dipikul di atas bahu sendiri,
sebaliknya lebih selesa jika orang lain yang boleh dipersalahkan.
Keadaan sedemikian mendorong individu dan keluarga
yang terbabit berikhtiar melawan penyakit ‘buatan orang’ dengan membuang saka
atau jin yang kononnya berada dalam diri mereka (telah diletakkan oleh individu
tertentu) dengan bantuan bomoh tersebut. Kepuasan kerana dapat ‘membalas
semula’ atau menggagalkan cubaan jahat tersebut ; atau perasaan takut kepada implikasi
buruk yang mungkin terjadi jika tidak membuangnya daripada badan mereka menyebabkan ramai
pesakit rela bergolok bergadai mencari wang untuk melunaskan pengeras yang ditetapkan.
Stigma juga memainkan peranan dalam memperjelaskan
mengapa bomoh lebih menjadi tumpuan berbanding perubatan moden (khususnya jika
ia melibatkan gangguan jiwa). Sakit jiwa adalah sesuatu yang sering dipandang hina
oleh masyarakat kita. Individu yang disahkan mengalaminya kerapkali dianggap
lemah dan disisihkan. Keluarga mereka juga turut menerima nasib yang sama.
Kebetulan, ramai dalam kalangan pesakit jiwa
mempunyai halusinasi (contohnya dapat mendengar suara-suara ghaib atau dapat
melihat sesuatu yang tidak jelas dipandangan orang lain). Mereka juga mengalami
simptom yang dipanggil delusi. Ia adalah kepercayaan yang salah yang dialami
oleh individu walau tidak ada bukti langsung untuk menyokong kepercayaan mereka.
Contoh yang paling mudah ialah percaya bahawa ada seseorang yang cuba untuk menganiayai
atau berbuat jahat kepada mereka.
Keadaan sedemikian sudah tentu memudahkan para bomoh
untuk meyakinkan pesakit tersebut bahawa suara yang didengar itu adalah suara
hantu atau jin ; dan delusi yang dialami pula adalah hasil daripada buatan
orang tertentu yang ingin membalas dendam terhadap pesakit atau sesiapa sahaja
ahli keluarga yang terbabit.
Mempercayai dan menganggap bahawa semua itu terjadi
berpunca daripada buatan orang, jin atau pun apa sahaja makhluk ghaib sudah
tentu dapat menghindarkan individu dan keluarga daripada disisihkan dan
dipandang serong oleh masyarakat setempat. Jadi ini sudah tentu akan menguatkan
lagi kepercayaan mereka kepada bomoh berbanding golongan profesional perubatan
di negara ini.
Secara kesimpulannya, kepercayaan kepada bomoh
masih kuat dalam kalangan masyarakat kita. Sukar rasanya untuk mengikisnya
kerana ia bukan sahaja melibatkan golongan tua malah golongan muda juga turut
terpengaruh. Apa yang boleh ialah terus memberi
kesedaran dan informasi agar implikasi atau kesan buruk yang mungkin timbul dapat diminimakan demi kebaikan bersama.
Wallahuaklam.
Friday, 27 December 2013
Selfie - Normal atau Tanda Kecelaruan Personaliti?
Malaysian Digest : 26.12.2013 : http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/482707-fenomena-selfie-popular-atau-kecelaruan-identiti.html (Versi Bahasa Melayu) ; http://www.malaysiandigest.com/opinion/482730-selfie-a-cool-global-trend.html (Versi Bahasa Inggeris)
Wednesday, 28 August 2013
Sunday, 11 November 2012
Friday, 25 May 2012
Thursday, 24 November 2011
Sunday, 20 November 2011
Tuesday, 15 November 2011
Tuntutlah Ilmu Sebanyak Mungkin
Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat ; di samping ianya menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang yang soleh.
Imam Syafie
Friday, 11 November 2011
Sunday, 6 November 2011
Wednesday, 12 October 2011
Thursday, 6 October 2011
Wednesday, 5 October 2011
Monday, 26 September 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)